Etika pakaian: Perodua mohon maaf
Perodua Sales Sdn Bhd memohon maaf kerana pusat servisnya di Kuantan, Pahang mengenakan kod etika pakaian untuk pelanggan.
“Kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang kami hargai di Pusat Servis Perodua berkenaan,” kata ketua pegawai operasinya JH Rozman Jaafar.
MCA semalam mengkritik panduan pakaian itu atas alasan sekatan melampau menyebabkan Malaysia dilihat sebagai negara yang ketinggalan zaman dan feudal.
Ketua Pemudanya Nicole Wong berkata syarikat swasta wajar memberi tumpuan terhadap kualiti perkhidmatan kepada pelanggan berbanding mengehadkan kebebasan berpakaian di premis mereka.
Dalam kenyataan hari ini, JH Rozman berkata perkara itu tidak selaras dengan garis panduan rasmi Perodua.
Syarikat itu justeru sedang melakukan siasatan rasmi diikuti dengan “langkah pembetulan” bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berlaku lagi, katanya.
Perodua Sales juga berkata notis berkenaan sudah ditarik balik.
Larangan yang tular itu sebelum ini mengundang pelbagai reaksi di media sosial.
Pengurus perkhidmatan pusat servis itu dalam kenyataannya yang disiarkan Sin Chew Daily semalam berkata mereka menurunkan notis itu bagi mengelakkan salah faham.
Katanya, pusat servis itu akan terus memberikan perkhidmatan seperti biasa tanpa mengambil kira pakaian pelanggan mereka.
Berkaitan notis itu, dia menjelaskan ia hanya berbentuk galakan dan tidak diwajibkan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/4c7eacd6605ec331c5b820a3ee9b574e.jpg)
