Bekas pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail menghormati dapatan kaji selidik dibuat Ilham Centre yang merumuskan sebahagian besar rakyat di negeri itu mahu kerajaan PAS dikekalkan.

Bagaimanapun, Azan berkata, ia bukanlah situasi yang boleh dianggap mencerminkan realiti di lapangan. Antara lain katanya disebabkan jumlah pensampelan yang tidak tinggi.

Selain itu dakwanya kaji selidik dijalankan sebaik saja penamaan calon dibuat di sesuatu kawasan pilihan raya.

Justeru Azan berpandangan mood atau kencederungan pengundi boleh berubah khususnya pada hari-hari terakhir kempen pilihan raya.

“Saya rasa kajian itu dibuat sebaik saja penamaan calon dibuat,” katanya kepada Malaysiakini sebagai mengulas dapatan Ilham Centre baru-baru ini.

Menurut Ilham Centre, sebanyak 61.4 peratus responden bersetuju kerajaan Terengganu yang dipimpin PAS perlu dikekalkan pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.

Kecenderungan untuk mengekalkan kerajaan sedia ada juga didakwa firma itu dikesan di semua lima negeri lain yang terlibat dengan PRN.

Mengulas lanjut, Azan berkata apa yang diperolehi agensi berkenaan boleh dianggap sebagai asas dan masih ada kemungkinan ia berubah pada hari pengundian.

Dia yang juga calon kerajaan perpaduan bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu berkata, keyakinan itu dibuat berdasarkan sokongan pengundi muda terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam siri ceramah mega Jelajah Perpaduan Madani di negeri itu semalam.

“Sambutan orang muda terhadap perdana menteri dilihat meningkat mendadak, pembonceng motosikal pun kami lihat ada kira-kira 600 orang semalam.

“Jadi, saya rasa pesanan perdana menteri itu difahami dengan baik dan isi kandungan yang dibawa begitu berkesan... saya rasa peningkatan sokongan itu agak ketara,” katanya.

Bagaimanapun, Azan menyatakan sedikit rasa kesal ekoran tindakan provokasi sekumpulan penyokong pihak lawan yang boleh menjurus kepada ketegangan,

Dakwa Azan ada kumpulan penyokong PAS berkumpul berhampiran tapak ceramah seolah-olah mahu mencetuskan provokasi ketika ketibaan perdana menteri.

“Sebab itu kita lihat ada trak FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) yang dikerahkan,” katanya.

Selain itu, Azan juga mendakwa ada pengundi bimbang dengan jika pilihan raya kecil (PRK) perlu dijalankan sekali lagi di Kuala Terengganu apabila calon yang sama, Ahmad Amzad Hashim, dinamakan PAS-PN untuk bertanding di situ.

“Kebanyakan mereka mengkritik, kenapa calon yang sama masih diketengahkan sedangkan dia merupakan ahli parlimen semasa keputusan PRU lalu dibatalkan keraja rasuah.

“Ia meresahkan orang Kuala Terengganu," katanya.