Aktivis hak asasi manusia, Elizabeth Wong akan bertanding merebut jawatan timbalan ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) hujung minggu ini.

Elizabeth akan berdepan dengan seorang lagi calon, Rodziah Ismail, yang disokong oleh ketua Wanita sekarang, Fuziah Salleh.

Lapan orang dicalonkan untuk jawatan tersebut, tetapi hanya Elizabeth dan Rodziah yang menerima pencalonan masing-masing,

Fuziah pula adalah antara enam calon yang akan bertanding jawatan naib presiden PKR Sabtu ini. Beliau menerima 42 pencalonan yang ketiga terbanyak.

Jawatan Ketua Wanita pula dimenangi tanpa bertanding oleh timbalan pergerakan itu sekarang, Zuraida Kamaruddin.

Elizabeth, 36, adalah pegawai khas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, dan penyelaras Suaram.

Gabungan terbaik

Manakala Rodziah pula berkata, beliau akan berusaha menarik lebih ramai golongan wanita menyertai PKR sekiranya dipilih memegang jawatan tersebut.

"Kita akan cuba sebaiknya untuk menarik lebih ramai ahli wanita. Saya rasa, selepas (pemilihan) ini, kita akan memberi tumpuan di Pahang dan negeri sasaran yang lain," katanya kepada malaysiakini.

Rodziah, 43, mengendalikan pusat asuhan kanak-kanak dan menyertai PKR sejak 2000. Beliau juga merupakan ketua Wanita bahagian Temerloh.

Sementara itu, Fuziah pula menyifatkan Rodziah dan penggantinya Zuraida sebagai teman karib.

"Mereka sentiasa di sisi saya dan menunjukkan prestasi yang cukup baik," katanya.

Katanya, pengagihan jawatan telahpun dibincang, "malah pemilihan bagi jawatan ketua dan timbalan ketua dibuat secara permuafakatan.

"(Kedua) mereka merupakan satu gabungan terbaik. Mereka yang mendapatkan pencalonan sikit (contoh) telah menarik diri (daripada bertanding)," katanya.

Rodziah juga adalah antara enam orang yang dicalonkan bertanding jawatan ketua wanita, tetapi menarik diri, untuk memberi laluan kepada Zuraida menang tanpa bertanding.

Ditanya bagaimana jika Elizabeth menang jawatan timbalan ketua Wanita, Fuziah berkata: "Beliau akan membawa sesuatu yang berbeza, sesuatu yang baru. Saya rasa ianya baik (untuk pergerakan itu)," katanya. Berita asal