PRN: Tiket bas ekspres ke Kelantan habis dijual
Tiket bas ekspres dari seluruh negara ke destinasi Kelantan habis dijual bagi perjalanan pada tarikh untuk pulang mengundi sempena pilihan raya negeri (PRN) esok.
Ejan jualan tiket bas ekspres Izani Zakaria berkata ia membabitkan tarikh bermula 9 hingga 11 Ogos.
Katanya secara keseluruhan bas-bas ekspres melakukan 126 perjalanan pada tarikh berkenaan.
“Ia melibatkan perjalanan dari Lembah Klang dan Negeri Sembilan sebanyak 78 trip, tujuh trip dari Melaka, Johor dan Kedah, dan masing-masing 14 dan 13 trip bagi perjalanan dari Perak dan Pulau Pinang.
“Jumlah 126 trip itu bagi setiap hari bagi tarikh 9 hingga 11 Ogos,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Tambah Izani jumlah trip tersebut sudah termasuk bas tambahan yang disediakan syarikat-syarikat bas ekspres.
“Kalau kebiasaannya untuk perjalanan di luar musim pilihan raya, jumlah trip sekitar 70 hingga 80 trip sehari bagi destinasi ke Kelantan.
“Jadi setakat ini memang semua tiket habis dijual untuk tarikh-tarikh tersebut,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/1946f65276bb394cd37ab675cb031a70.jpg)
