Anggota polis, wartawan cedera dalam letupan di Yala
Tiga anggota polis dan beberapa wartawan, termasuk seorang jurugambar bebas berbangsa Australia yang bekerja dengan majalah Time cedera dalam satu serangan bom di wilayah bergolak Yala di selatan Thai hari ini.
Tiga anggota polis dan beberapa wartawan, termasuk seorang jurugambar bebas berbangsa Australia yang bekerja dengan majalah Time cedera dalam satu serangan bom di wilayah bergolak Yala di selatan Thai hari ini.
Polis percaya, puak pemberontak tmeletupkan sebuah bom ketika pihak polis dan media berada di Moo Neng, Tambun Lammai di daerah Mueng untuk menyiasat satu kejadian tembak dan kebakaran pada jam 7 pagi tadi.
"Apabila kumpulan tersebut tiba di sana, sebutir bom meletup dan mengenai anggota polis, wartawan dan jurugambar," kata Timbalan Ketua Polis Yala, Kol. Narasak Chiangsuk ketika dihubungi Bernama.
Katanya, mangsa yang cedera termasuk dua jurugambar tempatan dan jurugambar bebas berkenaan yang dikenali sebagai Philip Blenkinsop. Dia cedera di muka dan telah dikejarkan ke Hospital Yala.
Puak pemberontak sebelum itu telah menembak dan membakar seorang penduduk kampung beragama Buddha yang sedang menuju ke ladang ternakan ayamnya kira-kira 6 pagi.
Kekacauan meletus sejak Januari 2004 di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.
Lebih 2,100 orang terbunuh setakat ini dalam keganasan harian yang dikatakan berpunca daripada kegiatan puak pemisah yang menuntut kemerdekaan.
Sebelum ini, puak pemberontak sering meletakkan bom sebagai sasaran kepada pihak keselamatan yang menyiasat tempat berlakunya jenayah.

