Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Bung Mokthar Radin dan Datuk Mohd Said Yusof mesti digantung perkhidmatan mereka selama enam bulan dan dihukum melakukan khidmat masyarakat bersama badan-badan wanita.

Ketua pembangkang, Lim Kit Siang berkata, mesyuarat kabinet esok mesti menolak permohonan maaf mereka yang didakwanya 'palsu' dan menghukum mereka kerana membuat kenyataan yang menyinggung kaum wanita.

Sepanjang tempoh penggantungan mereka, Lim mencadangkan agar elaun mereka disumbangkan kepada badan-badan wanita.

Dalam satu kenyataan, Lim berkata, ia akan memberi tanggapan yang kurang baik terhadap kabinet jika ia menerima permohonan maaf yang didakwanya 'palsu' oleh kedua-dua ahli Parlimen tersebut.

Lim juga membidas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil berhubung isu tersebut.

'Tebus kesilapan'

Beliau menuduh Shahrizat "gagal mempertahankan penghormatan, sensitiviti dan kesaksamaan gender kerana tergesa-gesa untuk menyelesaikan isu tersebut walaupun kedua-dua ahli Parlimen BN itu, dakwanya, tidak jujur ketika memohon maaf.

Bagaimanapun, Lim berkata, Shahrizat masih mempunyai masa untuk 'menebus kesilapannya' itu dengan berterus terang kepada kabinet bahawa permohonan maaf itu tidak dibuat dengan ikhlas.

Katanya, Shahrizat mesti meminta kabinet mengenakan tindakan penggantungan terhadap Bung Mokthar dan Mohd Said dan mengarahkan mereka melakukan kerja-kerja masyarakat bersama badan-badan wanita.

Kedua-duanya telah membuat kenyataan yang menyinggung ahli Parlimen wanita dari DAP, Fong Po Kuan, dan tindakan mereka telah dikecam oleh pelbagai pihak, terutama badan-badan wanita.

Bung Mokhtar dan Mohd Said kemudiannya memohon maaf selepas mengadakan pertemuan dengan Shahrizat.