Paling Popular
Terkini

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata kemenangan besar gabungan Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri semalam adalah tanda rakyat menolak Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, katanya, Anwar dan Zahid perlu meletak jawatan dengan serta-merta.

"Benarlah pilihan raya negeri ini merupakan referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

"Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi yang menerajui gabungan ini mesti mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan serta merta," katanya pada sidang media, di Hotel Concorde, Shah Alam, awal pagi tadi.

Dia berkata demikian ketika mengulas kemenangan calon PN di 146 kerusi DUN daripada jumlah 245 kerusi yang dipertandingkan di enam negeri. PN memenangi sebanyak 60 peratus kerusi yang ditandingi.

"Kejayaan besar PN meraih sokongan pengundi Melayu menandakan bahawa gabungan itu adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa kini. 

“PN juga berjaya memenangi kerusi campuran seperti Kulim dan kerusi majoriti kecil Melayu seperti Derga yang menunjukkan bahawa PN turut mendapat sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu. 

"Ini membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan termasuk juga masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh dan perpaduan palsu yang diterajui oleh Anwar dan Zahid," katanya.

Lihat Komen
ADS