T'ganu tiada pembangkang: Rakyat boleh kritik k'jaan, kata Hadi
Dengan ketiadaan pembangkang di DUN Terengganu, semak dan imbang boleh hadir menerusi rakyat dan juga Adun PN, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi memberi jaminan pentadbiran kerajaan Terengganu akan diteruskan seperti biasa tanpa pembangkang, selepas PN menang di kesemua 32 DUN di negeri itu semalam.
"Kita akan galakkan budaya nasihat termasuk daripada rakyat sendiri boleh mengkritik kerajaan.
"Malah, suka dimaklumkan bahawa dalam Islam ini walaupun tidak ada pembangkang, ahli-ahli dewan boleh mengkritik dan memberi teguran," katanya seperti dipetik Berita Harian.
Hadi berkata demikian ketika sidang media selepas pengumuman keputusan pilihan raya di Dewan Tok Guru Rusila di Marang, Terengganu malam tadi.
Dia juga menyuarakan penghargaan kepada mereka yang mengundi PN dan telah memberi kemenangan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Dia juga membangkitkan sokongan yang diberikan pengundi muda dalam kemenangan itu.
"Malah, saya lebih berbangga apabila bukan sahaja kekal memerintah Terengganu, malah berjaya menyapu bersih semua 32 kerusi DUN dan kerusi Parlimen Kuala Terengganu," katanya.
Selain mengekalkan kemenangan di negeri yang sedia ditadbir, katanya lagi, PN juga berjaya menambah bilangan kerusi di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/15ee3f828178435211599225fef25e77.jpg)
