Paling Popular
Terkini

Selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dimuktamadkan semalam, majlis pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar Kedah kini dijadualkan berlangsung di Istana Anak Bukit, di Alor Setar, esok.

Berdasarkan surat jemputan media yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah hari ini, majlis itu dijadual diadakan di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit, kira-kira pukul 9 pagi.

Majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah itu turut akan dihadiri Setiausaha Kerajaan Kedah Datuk Norizan Khazali.

Pada PRN semalam, Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh kemenangan besar iaitu 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi PN Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri ketika ini bertindak sebagai Menteri Besar Kedah sementara, sehingga Menteri Besar baharu dilantik dan mengangkat sumpah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS