Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun tunggal Gerakan boleh sertai exco Kedah
Diterbitkan:  Aug 14, 2023 1:51 PM
Dikemaskini: 5:51 AM

Muhammad Sanusi Md Nor hari ini berkata wakil rakyat tunggal Gerakan di Kedah, Wong Chia Zhen, boleh dilantik untuk menyertai barisan exco barunya.

“Kita ada wakil Gerakan bukan Islam, dan dia boleh menyertai kerajaan negeri untuk mewakili bukan Islam, bukan Melayu," katanya.

Sanusi yang mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah ke-15 hari ini juga berkata dia tidak ada masalah untuk berkhidmat kepada semua penduduk negeri itu termasuk kaum bukan Melayu yang terdiri daripada 26 peratus daripada jumlah penduduknya.

"Saya tidak ada masalah untuk berkhidmat kepada bukan Melayu di Kedah. Tidak ada diskriminasi," katanya.

Adun Jeneri itu berkata demikian semasa sidang media di Wisma Darul Aman di Alor Setar, yang turut dihadiri isteri, ibu, bapa dan kakaknya.

Terdahulu Sanusi ditanya mengenai komitmennya untuk memastikan pentadbiran yang adil di negeri yang majoriti penduduknya adalah Melayu.

Hasil pilihan raya negeri di Kedah pada Sabtu lalu 32 daripada 33 wakil rakyat PN adalah Melayu-Islam yang mewakili Bersatu dan PAS, manakala ketiga-tiga pembangkang adalah bukan Islam.

Satu-satunya Adun bukan Islam dalam blok kerajaan ialah Wong yang memenangi kerusi DUN Kulim. Dia mengalahkan calon PH, Teh Lean Ong, dengan perbezaan 7,742 undi.

Selesai minggu ini

Sementara itu Sanusi juga menganggap mandat yang lebih besar diberikan rakyat kepada PN berbanding semasa PRU ke-14 lalu juga datang dengan tekanan yang lebih tinggi untuk dia melaksanakan tanggungjawabnya.

"Terdapat 33 Adun daripada pelbagai latar belakang... saya yakin setiap seorang mempunyai komitmen yang sama untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Sanusi berkata PN Kedah akan bermesyuarat hari ini bagi menamakan calon mereka yang akan mengisi 10 jawatan exco negeri.

“Semua parti akan mencadangkan nama wakil mereka... barisan akhir exco mesti dapat merealisasikan Rancangan Kedah 2035,” katanya.

Tambah Sanusi kerajaan negeri memerlukan calon yang boleh bekerjasama dengan baik termasuk untuk berurusan dengan penjawat awam.

Katanya proses pemilihan dan pelantikan exco dijangka dapat diselesaikan minggu ini.

Mengenai dakwaan bahawa Kedah sebagai negeri pimpinan pembangkang di bawah PN mungkin diketepikan daripada pembangunan atau bantuan persekutuan, Sanusi mengingatkan adalah berdosa untuk "menghukum" rakyat kerana melaksanakan hak demokrasi mereka.

“Kalau mereka (PH-BN) berdendam (terhadap PN), saya tidak tahu.

“Soal hati tidak boleh dimasukkan dalam urusan kerajaan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS