Dua lagi pemimpin utama Angkatan Muda Keadilan (AMK) menarik diri daripada pertandingan jawatan dalam Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Seremban Jumaat ini.

Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman menarik diri daripada mempertahan jawatan naib ketua AMK manakala Setiausaha Perhubungan PKR Selangor, Mohd Nazmi Rosli menolak pencalonan bagi jawatan pengerusi tetap AMK.

Sharifah Shahidah mendapat pencalonan terbanyak daripada 37 bahagian, manakala Nazmi mendapat pencalonan terbanyak (20) bagi jawatan pengerusi tetap.

Penyandang jawatan naib ketua AMK itu menarik diri dengan alasan beliau kecewa dengan pucuk pimpinan pergerakan itu yang disifatkannya sebagai tidak mempunyai fokus dan meremehkan amanah.

"Sejak Ezam Mohd Noor melepaskan jawatan Ketua AMK, masalah kepimpinan telah berlaku kerana pemimpin sedia ada tidak fokus kepada perjuangan dan memandang remeh amanah mereka.

"Saya sangat komited dengan perjuangan dalam AMK, tetapi apa yang berlaku dalam kepimpinan AMK sekarang, tidak sesuai dengan saya," kata Sharifah Sharidah ketika dihubungi hari ini.

Jawatan Ketua AMK kini dipangku oleh Shamsul Iskandar MD Akin setelah Ezam melepaskan jawatannya akhir tahun lalu dengan alasan mahu menumpukan perhatian kepada Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) yang ditubuhkannya.

Campurtangan Anwar

Manakala, Nazmi pula kecewa dengan campurtangan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga memaksa Setiausaha Pemuda AMK SD Johari Yassin menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan ketua AMK.

"Apa yang berlaku kepada SD Johari boleh berlaku kepada saya, kerana kami berdua sangat rapat. Oleh kerana itu, tidak guna saya bertanding jawatan pengerusi tetap AMK sedang SD Johari telah dipinggirkan," katanya.

Sementara itu, calon Timbalan Ketua AMK, Feriz Musa mendakwa Shamsul Iskandar menjadi punca mengapa begitu ramai calon menarik diri dari bertanding dalam kongres nasional kali ini.

Beliau mendakwa, cakap-cakap Shamsul Iskandar bahawa "beliau tidak suka orang itu dan ini" menyebabkan calon yang mahu bertanding menjadi kecewa dan mengambil keputusan menarik diri.

Bekas Exco AMK, Ghani Haron pula berkata, apabila beberapa orang kuat AMK menarik diri daripada bertanding, maka ada sesuatu yang tidak kena dalam AMK.

Katanya, jika tidak ada sifat amanah dan pengorbanan di kalangan pemimpin, tetapi lebih mengutamakan kepentingan politik, maka kepimpinan parti menjadi tidak berkesan.

Semalam SD Johari menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan ketua AMK kerana memprotes tindakan Anwar yang didakwanya campurtangan dalam pemilihan pergerakan itu.

Johari mendakwa, Anwar telah mengarahkan pemangku AMK, Shamsul Iskandar mencari jalan supaya beliau kalah dalam pertandingan jawatan timbalan ketua AMK.