Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa meminta ali parti itu bersiap sedia menghadapi pilihanraya umum yang beliau jangka diadakan sebelum sambutan ulangtahun ke-50 kemerdekaan 31 Ogos ini.

Menurutnya, pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam merupakan isyarat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa pilihanraya sudah hampir dekat.

"Dan kita perlu mengambil peluang menggembleng tenaga dan kekuatan bagi mengatur agenda," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian ketika diminta mengulas mengenai kenaikan gaji kakitangan awam sehingga 35 peratus berkuatkuasa Julai ini, yang diumumkan oleh Abdullah semalam.

Husam, yang juga ahli exco kerajaan Kelantan berkata, beliau yakin pilihanraya akan diadakan "sebulan dua" selepas muktamar agung PAS dari 1 hingga 3 Jun ini, demikian menurut laporan Bernama.

"Julai adalah bulan pertama semua kakitangan menerima gaji pertama dan saya jangka pilihanraya mungkin diadakan pertengahan Ogos atau sebelum sambutan kemerdekaan ke-50 tahun," katanya.

Tiada pertandingan

Mengenai pemilihan jawatan dalam PAS, Husam berkata, beliau yakin pertandingan merebut jawatan di peringkat tertinggi parti terutama timbalan presiden tidak akan berlaku.

Katanya, ini kerana kepimpinan PAS mengambilkira keutuhan dan kekuatan parti bagi menghadapi pilihanraya umum nanti.

Sebelum inil terdapat laporan media bahawa Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib, dijangka menentang Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, bagi jawatan itu dalam muktamar agung parti itu.

Tiga jawatan naib presiden dan Ketua Dewan Pemuda PAS juga dijangka menyaksikan pertandingan sengit.

Bagaimanapun, Husam berkata, perkara itu hanya spekulasi kerana beliau tidak mendapat laporan rasmi mengenai adanya pertandingan merebut jawatan itu walaupun mungkin terdapat pencalonan dibuat.

Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa PAS akan dapat mempertahankan Kelantan dan menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri.

Daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan, PAS mempunyai 23 kerusi dan Barisan Nasional 22.