Individu punca pesawat MAS berpatah balik dipercayai tak waras
Pihak berkuasa Australia mendakwa seorang lelaki berusia 45 tahun menjadi punca penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) dari Sydney ke Kuala Lumpur berpatah balik ke ibu negara Australia pada Isnin lalu, selepas individu berkenaan mengancam untuk meletupkan pesawat itu.
Menurut laporan AP, warga Canberra, Muhammad Arif Ali didakwa membuat kenyataan palsu mengenai ancaman untuk merosakkan pesawat dan gagal mematuhi arahan keselamatan oleh kru kabin.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda lebih AUD$ 15,000 (RM45,000).
Daily Mail melaporkan Muhammad Arif enggan muncul dalam perbicaraan menerusi video di mahkamah Sydney selama hampir tiga jam, selepas enggan meninggalkan selnya.
Dia kemudian dilaporkan dipaksa keluar dari sel oleh Majistret Greg Grogin.
Peguam bela suspek, Mostafa Daoudie dilaporkan memberitahu Grogin bahawa Muhammad Arif, warganegara Pakistan-Australia, mempunyai "masalah mental yang serius" dan tidak berada dalam "keadaan fikiran yang waras" ketika kejadian itu berlaku.
Muhammad Arif ditahan selepas Majistret enggan membenarkan dia diikat jamin.

Penerbangan Malaysia Airlines MH122 terpaksa berpatah balik ke New South Wales selepas "insiden kecemasan" di udara pada Isnin.
Pesawat Airbus A330 yang membawa 199 penumpang dan 12 anak kapal itu meninggalkan Lapangan Terbang Sydney pada 1.40 petang waktu tempatan tetapi mendarat semula di landasan yang sama pada 3.47 petang Isnin.
Penumpang lain merakam video Muhammad Arif membuat kenyataan mengenai agama dalam pesawat berkenaan. Dia juga dilapor berdoa dengan kuat, sebelum mula menolak beberapa penumpang lain.
Lelaki itu kemudian didakwa membayangkan bahawa dia membawa bahan letupan di dalam beg galasnya. Video kejadian itu tular di media sosial.
Muhammad Arif ditahan kira-kira tiga jam selepas pesawat itu mendarat di lapangan terbang Sydney.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/435de8ea47675e735d964b033e435ad6.jpg)
