30 calon AMK tarik diri bantah campurtangan Anwar
Lebih 30 calon menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Jumaat ini kerana membantah campurtangan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lebih 30 calon menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Jumaat ini kerana membantah campurtangan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha AMK, SD Johari Yassin berkata, campurtangan Anwar adalah satu amalan yang tidak sihat dalam sistem demokrasi.
"Saya menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan ketua AMK walaupun mendapat pencalonan tertinggi (42),"katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Penerangan AMK, Latheefa Koya dan Timbalan Ketua Penerangan AMK, Amirudin Shari.
Sidang media tersebut diadakan bagi mengumumkan senarai calon yang akan bertanding dalam pemilihan AMK di Seremban, Jumaat ini.
Selain Johari, Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman yang mendapat 37 pencalonan dan tertinggi untuk jawatan naib ketua AMK, turut menarik diri.
Johari berkata, beliau sudah menghantar mesej yang jelas kepada pihak atasan supaya jangan masuk campur dalam urusan pemilihan parti.
'Sahabat Ezam'
Beliau juga berkata, Anwar bersikap prejudis terhadapnya walaupun beliau banyak berkorban untuk parti selama lebih dari lapan tahun.
Johari mendakwa, Anwar tidak senang dengannya kerana beliau terlalu rapat dengan bekas ketua AMK, Ezam Mohd Noor dan tindakannya mengkritik bekas timbalan perdana menteri itu semasa kempen pilihanraya kecil Ijok baru-baru ini.
Dalam pemilihan parti, katanya, para perwakilan harus diberikan kebebasan sepenuhnya tanpa campur tangan pihak atasan termasuk penasihat parti.
"Saya kecewa dengan campurtangan Anwar dalam pemilihan AMK yang sepatutnya diputuskan oleh para pewakilan daripada 82 bahagian AMK di seluruh negara," katanya.
Bila ditanya mengenai penafian Anwar campurtangan dalam pemilihan parti, Johari berkata "sesiapa sahaja boleh mengatakan apa-apa dan kemudian menafikannya".
"Saya mempunyai bukti mengenai hal itu dan bukannya mengatakan sebarangan berdasarkan khabar angin," katanya lagi.
Sejumlah 828 perwakilan dari 92 bahagian dan 300 pemerhati dijangka menghadiri kongres nasional PKR di Dewan Sekolah Menengah Chung Hwa, Seremban.

