Tiada pembangkang, tiada masalah: Samsuri mahu Adun lebih kritikal
Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu tidak mewajibkan anggota dewan undangan (Adun) yang dilantik harus terdiri daripada pembangkang.
"Kalau ikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu, tidak ada kategori sedemikian, yang ada hanyalah jika di dalam dewan itu ada kelompok yang tidak ada wakil.
"Contohnya tidak ada Adun wanita, Orang Asli atau kaum lain...jadi kita boleh lantik (wakil dari kelompok itu, tetapi) tidak ada menyebut tentang boleh dilantik daripada parti yang lain," katanya yang dipetik Berita Harian.

Memandangkan keputusan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu, menyaksikan tiada ahli pembangkang dalam DUN Terengganu, Samsuri menggesa semua Adun supaya bersikap terbuka dan kritis terhadap kerajaan negeri.
"Kita kena bersedia menerima pandangan daripada dalaman sendiri, kritikan dan sebagainya berikutan ketiadaan pembangkang," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis mengangkat sumpah menteri besar dan 10 ahli majlis mesyuarat (exco) kerajaan negeri hari ini.
Perikatan Nasional menyapu bersih semua 32 kerusi DUN Terengganu pada Sabtu lalu.

Mengukut Fasal 27(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu. dewan undangan negeri boleh, pada bila-bila masa, membentangkan usul yang disokong oleh tidak kurang daripada tujuh ahli untuk melantik ahli bukan Islam atau wanita.
Ia juga menyebut mereka tidak boleh melantik lebih daripada empat ahli.
Di bawah Perkara 27(3)(c), ahli yang dilantik tidak boleh menjadi ahli mana-mana parti politik, selain daripada ahli lantikan wanita.
Undang-undang ini diperkenalkan semasa pentadbiran Abdul Hadi Awang antara 1999 dan 2004.
Pada 2018, ahli PAS Zuraida Md Noor menjadi ahli wanita pertama dewan undangan Terengganu melalui pelantikan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/f18a7a83db8a2d83d9ca261d34b47136.jpg)
