Bersih menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi penjelasan berkenaan laporan ada pengundi yang tidak boleh membuang undi pada PRN lalu ekoran kad pengenalan mereka digunakan pihak lain.
Badan pemantau pilihan raya itu antara lain berkata SPR perlu membuat siasatan dalaman di pusat mengundi di mana kejadian itu dilaporkan berlaku.
Katanya, siasatan harus bertumpu kepada kerani pengundian (KP) 1 dan 2 yang bertanggungjawab mengesahkan identiti pengundi dengan menyemak daftar pemilih dan gambar di kad pengenalan.
"Siasatan perlu dijalankan berhubung sama ada KP1 dan KP2 telah melaksanakan tugas mereka berdasarkan akta dan peraturan ditetapkan atau tidak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada PRN 12 Ogos lalu, Bersih berkata pihaknya mendapati ada tiga orang yang tidak dapat mengundi kerana kad pengenalan mereka telah digunakan oleh pihak lain untuk mengundi, menyebabkan nama mereka di senarai pengundi dipotong.
Kejadian itu berlaku di pusat mengundi SMK Seberang Marang, Terengganu, SK Kampung Raja Uda, Selangor dan SK Taman Mahsuri, Kedah.
Bersih juga membangkitkan kenyataan polis bahawa 94 laporan berkaitan masalah yang sama telah dibuat.
"Ini menunjukkan peningkatan signifikan berbanding pilihan raya sebelumnya, seperti PRU15 dan PRN di Melaka, Sarawak dan Johor," katanya lagi.
Tindakan menyalahgunakan kad pengenalan individu lain untuk mengundi dalam pilihan raya adalah kesalahan di bawah Seksyen 3(1)(l) dan Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Dalam pada itu, Bersih berkata KDN, selaku kementerian yang bertanggungjawab ke atas JPN, perlu melakukan siasatan yang telus terhadap perkara itu.
"Tindakan menggunakan kad pengenalan dan menyamar untuk mengundi adalah kesalahan serius kerana ia menafikan hak pengundi yang sebenar, serta menjejaskan integriti daftar pemilih," katanya lagi.
