BERITA

Sektor awam tempat lambakan graduan Melayu menganggur, kata Tony Pua

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Jan 2008, 10:21 pagi

Jumlah kakitangan awam yang terlalu ramai pada hari ini, sebahagian besarnya, disebabkan oleh dasar kerajaan yang menjadikannya sebagai tempat lambakan graduan Melayu yang menganggur, kata Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP, Tony Pua.

Sebagai contohnya, kata beliau, pada tahun lalu sahaja, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah didesak mempercepatkan proses pengambilan graduan untuk mengisi kira-kira 30,000 kekosongan dalam perkhidmatan awam.

"Gesaan itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengatasi masalah graduan menganggur, yang sebahagian besarnya bumiputera," katanya dalam satu kenyataan semalam sebagai mengulas kenaikan gaji kakitangan kerajaan mulai Julai ini.

Pua berkata, penyerapan graduan berkenaan yang gagal mendapat pekerjaan di sektor swasta. mengakibatkan bukan sahaja kewujudan tenaga kerja bermutu rendah dalam perkhidmatan awam, tetapi ia juga meningkatkan tanggungjawab kerajaan.

Katanya, sektor perkhidmatan awam telah berkembang dengan pesat sejak 1990 dan jumlah kakitangannya semakin meningkat di bawah pentadbiran Perdana Menteri sekarang.

"Pada 1990, kerajaan mempunyai 773,997 kakitangan; pada tahun 2000, jumlahnya meningkatkan kepada 894,788 bertambah 15.6 peratus. Bagaimanapun, sejak itu, jumlahnya bertambah sebanyak 210,000 lagi meningkatkan 23.5 peratus dalam tempoh enam tahun sahaja," katanya.

Sistem penyampaian

Pua berkata, jumlah kakitangan kerajaan semakin bertambah walaupun program penswastaan dilaksanakan sejak 20 tahun lalu untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan serta meningkatkan kecekapan sistem penyampaian.

Menurutnya, salah satu matlamat utama program penswastaan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah untuk mengurangkan bilangan kakitangan awam kepada kira-kira 500,000.

Oleh itu, katanya, program penswastaan kerajaan boleh dianggap gagal kerana jumlah kakitangan kerajaan sekarang adalah dua kali ganda daripada matlamat tersebut.

Menurut Pua, antara impak negatif kenaikan tangga gaji kakitangan awam ialah komitmen kewangan sebanyak RM8 bilion untuk tahun semasa dan tahun-tahun yang akan datang.

Di samping itu, tegasnya, peruntukan RM4 bilion untuk menanggung kenaikan gaji kakitangan awam bagi tempoh separuh tahun ini, tidak dimasukkan dalam bajet sebelum ini.

Oleh itu, tegas beliau, ia menimbulkan persoalan sama ada sasaran deficit 3.4 peratus bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) untuk 2007 masih dapat dikekalkan.

"Kenaikan RM8 bilion itu juga menandakan kenaikan kekal 7.1 peratus dalam perbelanjaan operasi tahunan kerajaan," katanya.

Daya produktiviti

Sehubungan itu, kata Pua, kenaikan gaji tersebut akan hanya merupakan satu pembaziran wang rakyat sekiranya ia tidak diimbangi dengan peningkatan daya produktiviti sektor awam.

"Akhirnya, adalah juga diharapkan kerajaan akan membuat pelarasan tambahan sama seperti bagi pasukan polis, sektor perguruan serta professional yang kritikal seperti doctor.

"Pelarasan tambahan bagi guru di sekolah rendah dan menengah serta para pensyarah universiti tempatan, akan menarik lebih ramai calon yang layak menyertai profesyen perguruan

"Ini adalah kritikal bagi mencapai misi negara untuk membina modal insan sebagai sebahagian daripada matlamat utama mencapai Wawasan 2020," katanya.

Menurut Pua lagi, kedoktoran merupakan profesyen yang tidak menawarkan gaji yang lumayan mengakibatkan ramai yang mencari pekerjaan di luar negara di mana kepakaran mereka diperlukan.

Oleh itu, beliau berharap kerajaan akan memberi perhatian terhadap teguran tersebut dan mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan kenaikan gaji kakitangan awam benar-benar menguntungkan rakyat dan bukan merupakan ganjaran pilihanraya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.