Bukan salah Melayu, konsep Madani perlu masa, kata Anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak yang menyalahkan orang Melayu susulan prestasi buruk Pakatan Harapan-BN dalam enam pilihan raya negeri yang berakhir Sabtu lalu.
Katanya, keputusan tersebut - yang menyaksikan gabungan itu tewas di banyak kerusi majoriti Melayu - sebaliknya harus dijadikan sebagai cabaran oleh PH dan BN untuk menyantuni rakyat supaya memahami konsep Madani.
“Ia mengambil masa, saya tak setuju sesetengah pihak menyalahkan orang Melayu, menyalahkan (kononnya) kefahaman mereka bahawa mereka itu mudah terpengaruh dengan hasutan kaum dan agama, menakut-nakutkan Cina dan DAP.
“Saya tak setuju, ini satu cabaran dan kita cuba menyantuni dan jelaskan pada mereka,” katanya merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik Sungai Besi di Kuala Lumpur hari ini.
Sabtu lalu menyaksikan prestasi lesu PH-BN pada enam pilihan raya negeri, walaupun
berjaya menang di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Gabungan itu dilenyapkan di Terengganu, dengan BN gagal memenangi sebarang kerusi di Kedah.
Keputusan pengundian juga menunjukkan Perikatan Nasional (PN) berjaya merobek kerusi-kerusi majoriti Melayu, termasuk di Pulau Pinang dan Selangor yang pernah menjadi kubu kuat mereka.
Anwar berkata ia akan mengambil masa untuk rakyat benar-benar memahami konsep Madani yang diperkenalkan kerajaan campuran.
Justeru, katanya, dia tidak akan mempersalahkan orang Melayu yang mungkin terpengaruh dengan propaganda seperti klip pendek di Tiktok yang cuba menakutkan pengundi Melayu untuk mempercayai bahawa orang Cina dan DAP akan mengambil alih negara apabila PH berkuasa.
Tambahnya, pengundi juga mungkin tidak menyedari masalah rasuah.
“Dia (mereka) tak tahu yang dia sokong itu kadang-kadang orang kaya (yang larikan) ratusan juta ringgit.
“Saya tak mahu salahkan dia tetapi tanggung jawab jentera kita, pimpinan mesti kerja lebih keras untuk memaknai dan menterjemah dasar ini,” katanya.
Anwar juga menegaskan bahawa gelombang konservatisme seperti itu bukanlah sesuatu yang baru atau aneh.
Negara-negara Barat, katanya, turut menyaksikan kebangkitan sentimen sempit dan perkauman, seperti yang berlaku semasa pentadbiran Donald Trump di Amerika Syarikat.
“Itu juga meningkat, jadi ada juga aliran ini dan kita harus cuba selesaikan dengan menyantuni rakyat, dengan menggunakan hikmah, kebijaksanaan dan keyakinan.
“Ini saya tegaskan dalam mesyuarat jemaah menteri semalam, jalan kerja dengan ikhlas, mustahil ditolak kerana keikhlasan dan kerana sikap keras menolak rasuah,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/698bd5174c94310c3b23ae02cf761595.jpg)
