ULASAN | Bagaimana YB DAP bekerja di kawasan?
Saya menonton satu video tular di media sosial. Seorang anak muda ucapkan tahniah pada DAP kerana pencapaiannya dalam PRN 6 Negeri. Berdasarkan video, anak muda tersebut berpendapat pencapaian DAP adalah kerana perkhidmatan mereka yang 'tip top' di kawasan masing-masing.
Mungkin ramai di luar sana yang memiliki pandangan berbeza. Ada yang bersetuju, ada yang tidak. Itu biasa. Namun di sini saya nak berkongsi pandangan peribadi, apa yang saya lalui dan saksikan sendiri. Ini sekadar pemerhatian saya sahaja.
Sebelum pergi lanjut, saya ingin nyatakan bahawa DAP telah memberi banyak peluang kepada orang muda, calon muda. Sekurang-kurangnya, saya dan rakan-rakan adalah antara anak muda yang mula berkecimpung dalam DAP sekitar 10 tahun dahulu.
Apa kaitannya anak muda dengan DAP? Bagi saya bila bercakap tentang orang muda, cara berfikir dan pendekatan kerja juga pastinya berbeza. Semangat mereka tak sama. Komitmen orang muda itu luar biasa.
Saya tidak katakan yang lebih berusia itu tidak bagus. Tetapi gembelingan antara orang muda dengan generasi tua itu akan sentiasa memberi nafas baru yang positif kepada 'team' wakil-wakil rakyat DAP keseluruhannya. Bak kata pepatah arab; hammasatu asy-syabab wa hikmatu asy-syuyukh. Antara semangat pemuda dan hikmah orang-orang tua, di situ akan wujud keseimbangan dalam gerak kerja.

Sejak itu, pengalaman peribadi saya dalam berpuluh-puluh retreat dan konvensyen DAP yang saya ikuti, antara penekanan penting yang diberikan kepada wakil-wakil rakyat serta ahli ialah berkaitan perkhidmatan di lapangan. Turun ke kawasan, santuni pengundi dan sebagainya.
Bukan sesuatu yang luar biasa saat DAP menganjurkan retreat negeri mahupun nasional, akan ada slot khas 'sharing moment' bagaimana perkhidmatan diberikan oleh wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing. Ini penting untuk wakil-wakil rakyat dan seluruh anggota DAP umumnya mempelajari pendekatan terbaik untuk menyantuni rakyat. Dengan kata lain, retreat DAP bukan berbincang tentang polemik politik samata-mata sampai 'lebam' jadinya!
Selain itu, pendekatan 'colour blind' oleh wakil-wakil rakyat DAP dalam memberikan khidmat bakti pada rakyat bagi saya tidak boleh disangkal lagi. Meskipun pada ketika ini kerusi dimenangi DAP kebanyakannya di kawasan majoriti masyarakat Tionghua dan campuran, tetapi pendekatan santuni rakyat oleh DAP tidak pernah dibatasi beza agama dan warna kulit. Dari masjid ke kuil, tokong ke gereja mahupun gurdwara, semua wakil-wakil rakyat dan orang DAP masuk.
DAP bukan sebuah parti berjenama agama atau bangsa yang tertentu. Bagi kami, soal agama dan bangsa sudah lama selesai menerusi Perlembagaan Persekutuan dan semangat Rukun Negara. Tiada siapa perlu mempertikainya.
Oleh itu DAP sebagai sebuah parti politik berteraskan demokrasi sosial telah menekankan keadilan, kebajikan dan pendekatan demokratik dalam menjalankan tanggungjawab politiknya pada rakyat. Justeru, perbezaan latar belakang kaum dan agama tidak sama sekali menyekat DAP untuk memberikan perkhidmatan terbaik pada rakyat di kawasan masing-masing.
Satu hal yang lain, pengalaman saya dalam DAP, ahli dan wakil rakyat tidak dilatih untuk membawa status-status besar yang mereka ada saat bertemu rakyat. Hakikatnya pun, 'title' tersebut tidaklah lebih sekadar suatu amanah berat yang dipikul. Tambahan pula, tanpa sokongan rakyat, orang biasa dalam DAP tidak mungkin berapa pada sebarang kedudukan tinggi yang dikecapinya hari ini.
Justeru jika di kawasan, anda mudah sahaja menemui wakil-wakil rakyat DAP yang tidak dilayan dengan protokol ketat baik dia seorang Menteri, Timbalan Menteri, Exco Negeri atau Pengerusi itu dan ini. Mereka memakai 'sepatu' seorang wakil rakyat biasa sahaja.

Lagipun, mereka dipilih oleh pengundi di kawasannya untuk berkhidmat menyelesaikan isu-isu rakyat. Jadi sebesar mana sekalipun jawatan yang dipegang di atas sana, wakil rakyat DAP tetap memakai sneakers, menyarung tshirt dan berseluar jeans untuk membantu seberapa ramai rakyat di kawasan masing-masing. Ini perkara biasa. Anda boleh lihat di media sosial YB-YB DAP ini khususnya 'posting' mereka pada hujung minggu.
Tidak ada parking rasmi, tidak perlu sambutan melambai-lambai, tidak perlu layanan istimewa, tidak perlu gelaran yang 'special', tidak perlu protokol. Ironinya, wakil rakyat DAP tetap dekat di hati, disenangi dan meresap masuk menjadi sebahagian daripada masyarakat di kawasan yang mereka wakili. Tiada darjat tertentu yang menjarakkan antara mereka dengan rakyat.
Kebajikan rakyat menjadi 'trademark' DAP. Jika anda biasa melihat wakil-wajil rakyat DAP bertugas di kawasan, itulah kerja-kerja rutin yang mereka jalankan tiap kali bersama pengundi. Menyantuni warga tua, mengasihi kanak-kanak dan mendekati anak muda dengan pelbagai cara. Mereka menjadi suara rakyat bawahan yang mengangkat isu-isu serta permasalahan di kawasan.
Bakul-bakul makanan yang dijinjing dari rumah ke rumah misalnya, itulah yang menjadi kebanggaan kami. Ziarah-ziarah kami menemui orang susah yang memerlukan, itulah yang menjadi persaingan antara wakil-wakil rakyat DAP. Setiap seorang cemburu melihat kerja buat mereka yang lain.
Akhirnya sesama mereka berlumba-lumba, siapa lebih rajin, siapa bertemu lebih ramai, siapa beri pertolongan lebih banyak dan siapa lebih prihatin pada rakyat di kawasan.
Sebab itu bukan sekali dua pengalaman saya bertemu pengundi-pengundi di kawasan, mereka senang dan mengakui kualiti perkhidmatan wakil-wakil rakyat DAP. 'Rajin', 'senang jumpa', 'manis muka', 'humble' dan banyak lagi. Bagi saya, inilah pengiktirafan di lapangan yang paling 'mahal' buat seorang bergelar YB dan petugas parti di akar umbi.
Begitulah pemerhatian saya, rekod kerja baik yang dilaksanakan oleh sebahagian besar wakil-wakil rakyat dan petugas DAP. Ikhlas dan terus menabur bakti di lapangan rakyat meskipun dicaci dengan pelbagai tohmahan oleh musuh-musuh politiknya di atas sana. Tetapi dalam bab perkhidmatan di kawasan, bagi saya tak boleh dinafikan lagi.
Saya bukan ingin memuji untuk apa-apa. Cuma sekiranya kualiti kerja seperti ini dicontohi, dihayati dan diamalkan oleh setiap YB tak kira apa juga parti, pastilah politik berteraskan perkhidmatan dan kebajikan ini akan menguntungkan rakyat dan negara kita.
SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP dan Naib Pengerusi DAP Johor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/03/109ce13a68ac20906fc7df52c4b8302b.jpg)
