K'jaan perlu selesai isu pengundi India segera - MP Klang
Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau menggesa kerajaan persekutuan meneliti laporan yang mencadangkan peralihan sokongan di kalangan pengundi dari kalangan masyarakat India dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.
Naib pengerusi DAP Selangor itu berkata bahawa kebanyakan kerusi yang menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) dan BN tewas melibatkan majoriti yang sangat tipis kurang daripada 1,500 undi.
"Adalah penting untuk diingat bahawa beberapa kawasan DUN yang PH-BN kalah mempunyai peratus pengundi India yang agak ketara.
"Sebagai contoh, di Semenyih, terdapat pengundi India yang ramai, namun peratusan keluar mengundi adalah rendah.
"Trend yang sama di DUN Taman Medan, Ijok, Bukit Melawati, Sementa, dan beberapa kawasan DUN lain yang melihat calon PH-BN kalah dengan majoriti tipis. Mengapa ini berlaku? Satu perkara yang munasabah dan perlu dikaji adalah 'undi protes' terhadap kerajaan persekutuan," katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, dia berkata sentimen umum dalam masyarakat India masih cenderung menyokong kerajaan perpaduan.
Katanya, ini terutamanya dapat diperhatikan di kawasan seperti DUN Pandamaran, Sentosa, Kota Kemuning, dan Banting.
Kekosongan kepimpinan
Bagaimanapun, dia membezakan senario ini daripada kawasan luar bandar atau separa luar bandar, di mana beberapa isu telah dikenal pasti menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengundi India.
"Isu utamanya, wujud kekosongan kepimpinan. Walaupun PH secara asasnya memperjuangkan perjuangan masyarakat terpinggir tanpa mengira etnik mereka, penduduk India menganggap kaum itu terus dipinggirkan.
"Sentimen ini jelas apabila mereka membezakan kemasukan empat pemimpin India sebagai menteri semasa era PH dengan masa kini, di mana mereka merasakan ketiadaan platform yang berkesan untuk membangkitakan isu berkaitan India dalam kerajaan," katanya.

Katanya, meskipun pendekatan inklusif boleh dipuji, ia tidak bergema secara optimum dengan pengundi India, yang minoriti daripada segi populasi, namun masih merupakan sebahagian besar daripada kumpulan sosioekonomi B40 di negara ini.
Ganabatirau juga menyatakan bahawa masyarakat India mempersoalkan keberkesanan inisiatif yang direka atau dilaksanakan untuk membantu kaum India.
Katanya, kerajaan sedang mengusahakan beberapa inisiatif mengikut kawasan pilihan raya dan kawasan parlimen tertentu, namun tumpuan masih tidak jelas dalam isu-isu penting seperti situasi pekerja asing di restoran India, tukang gunting rambut, dan industri logam.
"Kebimbangan ini, seterusnya, mempunyai kesan yang lebih luas untuk mata pencarian usahawan dan masyarakat yang bergantung kepada mereka.
"Perkara yang sama diperhatikan dalam isu sekolah Tamil, peruntukan dana kepada masyarakat India, isu kewarganegaraan dan undang-undang Sosma. Kerajaan persekutuan perlu mempercepatkan penyelesaian bagi isu-isu ini," katanya.
Isu pendidikan
Ganabatirau juga berkata perdebatan yang berterusan mengenai meritokrasi dan sistem kuota dalam pendidikan tinggi, khususnya dalam masyarakat bukan Bumiputera, turut mempunyai kesan dalam keputusan PRN baru-baru ini.
"Saya secara konsisten mengeluarkan kenyataan, dan pelbagai pihak juga telah menghuraikan keperluan sistem kuota. Saya yakin masyarakat India memahami sifat sistem ini yang tidak boleh ditarik balik.
"Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengkaji secara menyeluruh dasar khusus yang menyokong kebajikan warga bukan Bumiputera, khususnya pelajar India dalam sektor pendidikan.
"Namun, apa yang saya pasti, mereka nak jaminan bahawa pelajar berpencapaian tinggi tidak akan terpinggir dalam landskap pendidikan arus perdana," katanya.
Dia berharap Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan pelajar India akan dilayan secara adil dalam soal pendidikan, keadilan sosial dan ekonomi.
"Masih belum terlambat untuk menangani kebimbangan ini dan mendapatkan semula kepercayaan dan sokongan masyarakat India. Saya optimistik untuk melaksanakan Pelan Tindakan India dan mengutamakan masyarakat India.
"Apa yang masih pasti ialah mereka tidak mahu rampasan hak etnik lain. Sebaliknya, mereka hanya mahukan tuntutan mereka diberi pertimbangan yang sewajarnya dan munasabah," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/2ce88b78a61f0546047576312d68962e.jpg)
