Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua inkuiri PAC mungkin akan panggil bekas pegawai tinggi k'jaan
Diterbitkan:  Aug 18, 2023 5:51 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Mas Ermieyati Samsudin menyorot dua inkuiri yang sedang berjalan yang mungkin memerlukan penglibatan daripada bekas pegawai tinggi kerajaan, termasuk ketua setiausaha kerajaan, pengerusi terdahulu dan ahli lembaga pengarah terdahulu.

Secara khusus, dia memetik prosiding PAC mengenai pengurusan vaksin Covid-19 yang telah tamat tempoh, alat bantuan pernafasan yang tidak berfungsi dan lebihan perolehan Peralatan Pelindung Diri (PPE), serta pendengaran berasingan Menteri Kewangan Diperbadankan mengenai Felcra Berhad.

"Kenyataan saya sebelum ini, adalah sebagai satu peringatan kepada semua saksi PAC terutama mantan pegawai-pegawai tinggi kerajaan supaya sentiasa bersedia untuk hadir ke PAC apabila dipanggil,” kata Ahli Parlimen Masjid Tanah itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Rabu, Mas Ermieyati berkata PAC akan menamakan saksi, terutama bekas penjawat awam tertinggi, yang enggan menghadiri prosiding.

Dalam kenyataan terbarunya, Mas Ermieyati mengalu-alukan kenyataan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali semalam bahawa semua penjawat awam sedia ada dan bekas penjawat awam sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan PAC.

Mohd Zuki turut mengesahkan kegagalan penjawat awam yang sedang berkhidmat atau bersara menghadiri prosiding PAC apabila dipanggil adalah menghina Parlimen dan satu kesalahan di bawah Seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).

"PAC sebenarnya tidak mahu menggunakan kuasa di bawah seksyen 9(a), Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 [Akta 347] kerana ia akan memberi kesan negatif kepada individu terbabit termasuk kemungkinan ditangkap sekiranya tidak menjelaskan denda.

"Namun, PAC tidak teragak-agak menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah akta berkenaan bagi memastikan kredibiliti jawatankuasa ini terus terpelihara," tegasnya.

Mas Ermieyati turut berkata PAC sebelum ini telah memanggil pelbagai penjawat awam atasan dan pesara, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas bendahari agung Mohd Irwan Serigar Abdullah, kedua-duanya hadir untuk prosiding yang diadakan pada 2018.

Lihat Komen
ADS