Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhaizan, Nazri calon PH untuk PRK Pulai dan Simpang Jeram
Diterbitkan:  Aug 19, 2023 10:30 AM
Dikemaskini: 4:13 AM

Bekas speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizah Kaiat, dinamakan sebagai calon mewakili kerajaan perpaduan bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai pada bulan depan.

Presiden Amanah Mohamad Sabu juga mengumumkan bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar Ir Nazri Abdul Rahman, dipilih sebagai calon bagi PRK Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.

Kedua-dua PRK berkenaan akan dijalankan serentak pada 9 Sept ini.

Mohamad berkata nama-nama tersebut telah dipersetujui jawatankuasa pemilihan calon yang bermesyuarat pada 17 Ogos lalu.

“Jawatankuasa itu telah mengemukakan senarai calon kepada saya serta ahli Jawatankuasa Nasional Amanah untuk dimuktamadkan," katanya.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menambah keputusan berkenaan diambil selepas mereka mengambil kira pelbagai faktor dan pandangan.

Katanya pengumuman rasmi bagi memperkenalkan Suhaizan dan Nazri akan dibuat pada 23 Ogos ini di majlis memperingati penyandang kedua-dua kerusi berkenaan, Allahyarham Salahuddin Ayob.

Majlis itu akan diadakan di Simpang Jeram.

Sementara itu PKR Pulai dalam kenyataan menyatakan sokongan penuh atas keputusan yang diambil Amanah.

Justeru, mesyuarat PKR Pulai yang dipengerusikan ketuanya, Jimmy Puah mengalu-alukan kerjasama daripada semua parti kerajaan perpaduan di kawasan Parlimen Pulai.

Suhaizan sebelum ini pernah berkhidmat sebagai salah seorang pegawai Salahuddin, manakala Nazri ketika ini merupakan Timbalan Ketua Amanah Bakri.

Salahuddin sebelum ini merupakan timbalan presiden Amanah dan menggalas tugas sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup. Dia meninggal dunia pada 23 Julai lalu selepas mengalami otak.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi kedua-dua berkenaan diadakan pada 26 Ogos ini. Pengundian awal pula diadakan pada 5 Sept.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS