Polis Negeri Sembilan mengesahkan terdapat satu serbuan dijalankan di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato’ Sheikh Ahmad di Seremban, awal pagi tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata serbuan tersebut dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.
Dia bagaimanapun tidak memperincikan individu yang terlibat dalam serbuan berkenaan.
“Saya hanya boleh sahkan satu serbuan telah dijalankan, laporan penuh belum siap lagi,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Media melaporkan seorang pegawai kanan polis dan 14 anggota polis ditahan bersama dua timbalan pendakwa raya (DPP) disyaki sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad di Seremban, awal pagi tadi.
-Bernama
