Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Li saran pemilihan baru Umno tukar kepimpinan parti
Diterbitkan:  Aug 20, 2023 10:51 AM
Dikemaskini: 2:51 AM

Seluruh kepimpinan Umno harus bertanggungjawab terhadap prestasi buruk parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, kata bekas ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam temu bual dengan The Star, veteran Umno itu berkata Presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi bukannya satu-satunya individu yang harus dipersalahkan.

"Kamu tak boleh salahkan seorang. Saya tidak bela Zahid atau sesiapa.

"Kita hanya bercakap tentang menang dan kalah. Dan kepimpinan secara keseluruhan perlu bertanggungjawab atas kekalahan ini," kata Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li.

Ku Li berkata sekiranya Umno tidak berhati-hati, ia mungkin akan menyebabkan kehancuran kepada parti itu.

"Jadi saya meletakkan semua kesalahan kepada kepimpinan parti. Jika kamu mahu seseorang disingkirkan, seluruh kepimpinan perlu disingkirkan, dan kita mesti rombak parti," katanya dipetik sebagai berkata.

Ku Li berkata usaha merombak Umno boleh dibuat melalui pemilihan parti walaupun parti itu baru sahaja selesai melaksanakan pemilihannya lima bulan lalu.

Sebelum ini Umno bersetuju dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan yang membolehkan Zahid dan timbalannya, Mohamad Hasan mempertahankan jawatan mereka tanpa bertanding.

“Kita mesti adakan pemilihan (parti) baru. Inilah pembaharuan yang sebenarnya.

“Kalau tidak, jangan cakaplah,” kata Razaleigh.

Bekas ahli parlimen selama lapan penggal itu berkata dia tidak nampak calon lain yang sesuai untuk menggantikan Zahid dan sebarang cadangan sedemikian perlu dibuat oleh lebih ramai ahli Umno.

Bagaimanapun, Ku Li berkata beberapa perkara perlu dipertimbangkan, termasuk pemimpin berkenaan "mesti tahu apa itu Melayu" dan memahami Perlembagaan Persekutuan.

'Sokongan Melayu untuk kerajaan yang stabil'

Ku Li berkata dia percaya sokongan orang Melayu merupakan kunci utama bagi kerajaan yang stabil.

"Kamu boleh mendapat undi yang bercampur-campur yang diperoleh PAS atau PN hari ini. Tetapi itu tidak mencukupi untuk memartabatkan negara bersama-sama.

"Selama ini, dari 1955, kita stabil dalam 'tanda kurungan' kerana orang Melayu," katanya seperti dipetik The Star.

"Ramai orang risau mengenai Anwar. Bolehkah Anwar dapat sokongan semua pengundi Melayu ini? Jika orang Melayu tidak bersama kamu, kamu tidak memiliki kerajaan yang stabil.

"Dia boleh dapat majoriti dua pertiga atau apa sahaja di Parlimen. Tetapi adakah dia mendapat sokongan besar orang Melayu di belakangnya?" katanya sambil menegaskan sokongan daripada bukan Melayu juga penting untuk mendapatkan kestabilan.

BN dan PH meletakkan seramai 108 calon pilihan raya di enam negeri baru-baru ini namun hanya 19 daripada mereka menang di kerusi yang dipertandingkan.

Umno disapu bersih di Kedah dan Terengganu, manakala hanya satu calon daripada parti itu menang di Kelantan.

Lihat Komen
ADS