Kemenangan kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) dalam kesemua lima pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum 2004 merupakan isyarat jelas bahawa pembangkang tidak relevan lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, kini tiada pihak yang boleh menafikan bahawa Barisan Nasional (BN) masih popular dan mendapat sokongan padu daripada rakyat untuk memerintah negara, walaupun pembangkang cuba menafi dan memperlekehkannya.

"Calon BN dalam lima pilihanraya kecil di Kuala Berang, Pengkalan Pasir, Batu Talam, Machap dan Ijok telah menang dengan cemerlang, inilah buktinya," katanya.

"Kalau kita boleh sebut selamat tinggal pembangkang...pada lima pilihanraya kecil lalu jelas pembangkang tidak di hati rakyat," katanya di majlis kenduri kesyukuran kemenangan BN dalam pilihanraya kecil Machap, di Padang Felda Tun Ghafar Machap, Bukit Bulat dekat sini, malam tadi.

Menurut laporan Bernama, beliau percaya dalam pilihanraya umum akan datang, BN akan menjadi parti yang dipilih rakyat untuk memerintah negara.

Kemenangan besar

Dalam pilihanraya kecil Machap pada 12 April lalu, calon BN, Lai Meng Chong menewaskan calon DAP Liou Chen Kuang dengan majoriti 4,081. Lai memperoleh 5,533 undi manakala Liou mendapat 1,452 undi.

Najib berkata tidak ada pihak boleh mempertikaikan kemenangan besar BN dalam lima pilihanraya kecil itu kerana ia adalah keputusan rakyat.

Najib berkata pembangkang juga cuba memperlekehkan langkah kerajaan menaikan gaji kakitangan awam dengan mendakwa kononnya ia adalah untuk pilihanraya umum.

Di majlis itu, peti undi Kemuning dan Solok Menggong masing-masing dipilih sebagai peti undi terbaik dan peratus keluar mengundi terbaik bagi pilihanraya kecil Machap.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.