Amirudin dilantik jadi MB Selangor untuk penggal kedua
Adun Sungai Tua, Amirudin Shari, sekali lagi diberi kepercayaan menjadi menteri besar Selangor selepas dia mengangkat sumpah jawatan di Istana Alam Shah, Kelang, pagi ini.
Ia merupakan penggal kedua Amirudin memimpin kerajaan negeri.
Dia yang juga pengerusi PH Selangor mengangkat sumpah di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah kira-kira jam 11.25 pagi.
Turut hadir pada majlis angkat sumpah itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Kerajaan negeri dapat dibentuk pada 12 Ogos lalu selepas gabungan PH dan BN menguasai 34 daripada 56 kerusi yang ada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Baki 22 kerusi lagi dimenangi PN.
Daripada 34 kerusi tersebut, 15 diwakili DAP manakala PKR memenangi lagi 12 dan Amanah lima.
Dua lagi kerusi dimenangi wakil BN.

Dalam pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung pada 12 Ogos lalu, Amirudin mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua dengan majoriti 5,185 undi.
Sebelum ini ada sumber memberitahu Malaysiakini, naib presiden PKR itu adalah satu daripada tiga nama yang diserahkan kepada Sultan Sharafuddin untuk dipilih menjadi menteri besar.
Dua lagi nama yang didakwa dikemukakan ialah Adun Seri Setia, Fahmi Ngah - yang dianggap bersekutu dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim - dan bekas pembantu politik Amirudin yang juga Adun Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah.
Majlis angkat sumpah bagi jawatan anggota exco kerajaan negeri yang baru pula akan berlangsung pada jam 2 petang hari ini.
Dengan pelantikan Amirudin itu, kini semua enam negeri yang terlibat mengadakan PRN sudah selesai melantik menteri besar masing-masing.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/73fc9998aebe1bf82a9a33c85cf28614.jpg)
