Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
PH ajak rapatkan saf, pamer semangat persaudaraan Islam tulen
Diterbitkan:  Aug 21, 2023 12:02 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Bahrin Shah mahu semua pihak tanpa mengira fahaman politik mempamerkan semangat persaudaraan menjelang ambang hari Merdeka tidak lama lagi.

Menerusi satu kenyataan, katanya, rakyat di negara ini telah penat dengan politik anarki dan kebencian dan mengajak semua supaya bersatu semula.

Raja Bahrin Shah

“Sudah sampai masanya kita merapatkan saf sesama kita membina negara mengatasi keadaan dunia yang tidak menentu penuh kemelut.

“Apa jua perbezaan pendapat hendaklah diketepikan demi membina negara yang lebih makmur dengan semangat kejayaan kita menyambut hari kebangsaan bersama,” katanya.

Sambil menyambut baik kenyataan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar yang berkata kerajaan negeri akan mengunakan logo Hari Kebangsaan yang sama seperti ditetapkan oleh kerajaan pusat, katanya, keputusan tersebut adalah tepat dan patut dicontohi oleh semua.

Sabtu lalu, Pemuda Perikatan Nasional (PN) mempamerkan logo alternatif bagi sambutan itu, iaitu berdasarkan bunga raya, yang merupakan bunga kebangsaan, dengan lima kelopak dan menggunakan warna Jalur Gemilang.

Tema yang ditetapkan pula adalah "Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera".

Logo dan tema itu adalah aternatif untuk digunakan di Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dipimpin PN.

Bagi Raja Bahrin, Hari Kebangsaan hendaklah disambut oleh semua pihak tidak kira fahaman politik dalam semangat penyatuan demi negara Malaysia yang disayangi.

“Apa jua perbezaan pendapat hendaklah diketepikan demi membina negara yang lebih makmur dengan semangat kejayaan kita menyambut hari kebangsaan bersama.

“Kita baru melalui PRU15 sembilan bulan dahulu, PRN  enam negeri minggu lepas dan akan terpaksa menghadapi pula beberapa pilihan raya kecil di sebabkan pemergian dua orang wakil rakyat.

“Kasihanlah rakyat yang sedang bergelut dengan keadaan ekonomi yang kurang baik dan tidak menentu selepas dua siri pilihan raya yang sengit yang meletihkan minda dan badan mereka,” katanya.

Pemimpin PH itu berkata tanggung jawab ahli politik serta wakil rakyat yang ikhlas adalah membantu rakyat dan meringankan beban harian mereka dan bukan menambahkan kemelut serta bebanan dalam hidup mereka dengan berpolitik tidak habis-habis.

“Begitulah senario di Malaysia hari ini di mana setiap kesempatan dieksploitasikan bagi kepentingan politik.

“Di mana politik matang yang bertanggung jawab di saat negara amat memerlukannya?” soalnya.

Raja Bahrin mengajak rakyat, khususnya umat Islam supaya menunjukkan semangat persaudaraan yang tulen demi rakyat dan negara menjelang ambang hari merdeka.

“Janganlah kita pula mengegarkan kestabilan negara dan membakar semangat kebencian yang berterusan di bumi sendiri yang kita miliki bersama sebagai tanda kesyukuran,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS