Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwa PKR sisih wakil India, bekas pemimpin umum keluar parti

Bekas timbalan setiausaha agung PKR, P Jenapala mengumumkan keluar parti selepas mendakwa pucuk pimpinannya menyisihkan ahli parti berbangsa India dalam pelantikan Exco kerajaan negeri.

Jenapala berkata dia kecewa dengan perkara itu meskipun PKR menang beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dengan sokongan masyarakat India.

"Kalau kita lihat keputusan PRN baru-baru ini, PKR menang beberapa kerusi kerana sokongan daripada pengundi India.

“Ini adalah hasil kerja kuat pemimpin India dari PKR selepas MIC tidak begitu mengambil bahagian dalam PRN ini dan DAP hanya fokus kepada pengundi Cina sahaja.

"Tapi tiada satu wakil India dari parti itu dilantik sebagai exco kerajaan negeri," katanya kepada Malaysiakini.

Jenapala juga mendakwa Presiden PKR, Anwar Ibrahim tidak memberikan jawatan kepada pemimpin India dalam parti itu kerana mahu menunjukkan dirinya 'lebih Melayu dan Islam' berbanding Perikatan Nasional (PN).

"Maka sudah tiba masa untuk masyarakat India mengambil pendirian dan memberi satu isyarat kepada perdana menteri bahawa dia sedang memilih jalan yang salah," katanya.

Jenapala yang sebelum ini merupakan ahli seumur hidup PKR, berkata dia telah menghantar surat keluar parti kepada Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution pada 15 Ogos lalu.

Jenapala dipecat daripada PKR pada 2010 selepas menyaman parti itu kerana mendakwa dia dihalang daripada bertanding dalam pemilihan PKR pada tahun yang sama.

Jenapala memberitahu Malaysiakini dia kemudiannya dibawa kembali menyertai PKR.

PKR merupakan sebahagian daripada PH, yang baru-baru ini berjaya mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pada PRN 12 Ogos lalu.

Kesemua tiga exco PKR di Selangor dan dua exco di Pulau Pinang, adalah terdiri daripada wakil rakyat berbangsa Melayu.

Bagaimanapun Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun masih belum melantik barisan exco di mana PKR mempunyai seorang Adun berketurunan India di negeri itu.

Sementara itu, seorang lagi ahli PKR, Maneyvannan Velue turut mengumumkan keputusan keluar parti.

Bekas timbalan ketua cabang Kapar itu mengesahkan telah menghantar surat keluar PKR berkuatkuasa hari ini.

"No keahlian saya dalam PKR adalah 00073. Jadi perjuangan saya lebih 21 tahun bersama parti berhenti di sini hari ini.

"Saya percaya masyarakat India tidak lagi diiktiraf dalam PKR. Saya juga hilang kepercayaan dengan Anwar dan menteri besar Selangor Amiruddin Shari yang gagal mempertahankan hak wakil India PKR dalam kerajaan negeri," katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS