Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes 'cikgu ponteng': Kerajaan tak rayu keputusan mahkamah
Diterbitkan:  Aug 22, 2023 2:40 PM
Dikemaskini: 6:40 AM

Kerajaan dan empat lagi pihak tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang pampasan RM150,000 diberikan kepada tiga pelajar dalam kes saman terhadap bekas guru bahasa Inggeris mereka yang tidak hadir mengajar.

Salah seorang pelajar itu, Calvina Angayung memaklumkan lima defendan tidak memfailkan rayuan dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan.

"Mahkamah juga memberi tempoh sebulan kepada defendan untuk merayu di Mahkamah (Rayuan). Namun mereka tidak berbuat demikian.

"Saya anggap ini kerana mereka tiada lagi hujah untuk membantah keputusan mahkamah. Ini bermakna kemenangan (dalam kes ini) cukup kuat," katanya dalam kenyataan.

Mahkamah Tinggi berpihak kepada Calvina dan dua lagi plaintif, Rusiah Sabdarin and Nur Natasha Allisya Hamali, dalam kes saman mereka terhadap kerajaan dan empat lagi defendan, iaitu bekas guru Mohd Jainal Jamran, pengetua SMK Taun Gusi Suid Hanapi, ketua pengarah pendidikan dan menteri pendidikan.

Dalam keputusannya, hakim Leonard David Shim berkata lima defendan telah mencabuli hak perlembagaan tiga pelajar itu untuk mendapatkan pendidikan.

Dia juga memutuskan lima defendan telah melanggar tugas statutori mereka di bawah Akta Pendidikan 1966 apabila gagal menyediakan tiga pelajar itu untuk menghadapi peperiksaan.

Shim berkata defendan kedua, Suid Hanapi melanggar tugasnya di bawah Peraturan 3C, 25 dan 26 dalam Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Sehubungan itu, mahkamah menganugerahkan RM50,000 kepada setiap tiga pelajar terbabit dan ia akan ditanggung secara bersama dan berasingan oleh semua defendan.

Daripada jumlah itu, RM30,000 diberikan sebagai ganti rugi nominal atas kehilangan peluang yang dialami tiga pelajar berkenaan.

“Tidak dinafikan bahawa Bahasa Inggeris adalah mata pelajaran teras untuk Sijil Pelajaran Malaysia dan untuk kemasukan ke mana-mana peringkat pendidikan atau universiti yang lebih tinggi.

“Daripada keterangan yang ada, mahkamah mendapati bahawa pemberian ganti rugi nominal diberikankepada setiap plaintif berjumlah RM30,000 kerana kehilangan peluang memperoleh gred yang baik dalam Bahasa Inggeris dan kehilangan peluang yang baik dalam hidup mereka untuk menerima yang lebih baik pendidikan pada masa hadapan," kata Shim.

Hak perlembagaan

Baki RM20,000 pula dianugerahkan sebagai ganti rugi akibat trauma emosi dan/atau psikologi akibat kesan dan penghinaan akibat ketidakhadiran guru.

Menurut Shim tiada perintah dibuat mengenai kos kerana perkara itu melibatkan soal hak asasi perlembagaan untuk pendidikan dan perkara kepentingan awam.

Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali, dan Calvina Angayung memula tindakan undang-undang ke atas defendan dengan memfailkan saman mereka pada Dis 2020.

Mereka mendakwa Mohd Jainal tidak hadir, datang lewat, dan keluar awal dari kelas selama tujuh bulan iaitu antara Mac hingga Okt 2017.

Mohd Jainal juga menjadi subjek saman serupa yang difailkan oleh Siti Nafirah Siman berhubung perkara serupa. Saman itu masih dibicarakan.

Lihat Komen
ADS