Tony Pua tidak berhasrat untuk minta maaf
Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP, Tony Pua berkata beliau tidak berhasrat untuk memohon maaf berhubung kenyataannya semalam bahawa sektor awam menjadi tempat lambakan graduan bumiputera yang gagal mendapat kerja di sektor swasta.
Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP, Tony Pua berkata beliau tidak berhasrat untuk memohon maaf berhubung kenyataannya semalam bahawa sektor awam menjadi tempat lambakan graduan bumiputera yang gagal mendapat kerja di sektor swasta.
"Buat masa ini, saya tidak berhasrat untuk berbuat demikian," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Pemuda Umno yang mendesak beliau dan DAP memohon maaf kerana menganggap kenyataan itu menghina dan angkuh terhadap lebih sejuta kakitangan awam di negara ini.
Selain menyatakan sektor awam menjadi tempat lambakan graduan bumiputera yang gagal mendapat kerja di sektor swasta, Pua menegaskan, keadaan itu mengakibatkan wujud tenaga kerja berkualiti rendah serta meningkatkan tanggungan kerajaan.
Menurut Pua, pertambahan jumlah kakitangan awam sejak 1999, terutama dalam pentadbiran Perdana Menteri sekarang, mencerminkan kegagalan program penswastaan yang dilaksanakan semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, pada 1990 kerajaan mempunyai 773,997 kakitangan; pada tahun 2000, jumlahnya meningkatkan kepada 894,788 bertambah 15.6 peratus. Bagaimanapun, sejak itu, jumlahnya bertambah sebanyak 210,000 lagi meningkatkan 23.5 peratus dalam tempoh enam tahun sahaja," katanya.
Sedangkan, katanya, program penswastaan itu dilaksanakan sejak 20 tahun lalu untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan serta meningkatkan kecekapan sistem penyampaian serta mengurangkan bilangan kakitangan awam kepada kira-kira 500,000.
'khairy salahtafsir'
Ketika mengulaskan kenaikan gaji kakitangan kerajaan, Pua juga dilaporkan berkata, contohnya, pada tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah didesak mempercepatkan proses pengambilan graduan untuk mengisi kira-kira 30,000 kekosongan dalam perkhidmatan awam.
Menurut Pua lagi, gesaan itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengatasi masalah graduan menganggur, yang sebahagian besarnya bumiputera.
Sehubungan itu, Pua mendakwa Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin telah menyalahtafsir kenyataan yang dibuatnya itu.
Sebaliknya, Pua menjelaskan, beliau hanya mempersoalkan dasar-dasar kerajaan dan kenyataannya itu juga "tidak bermaksud untuk menghina kakitangan awam".
Menurutnya, beliau akan mengadakan sidang akhbar pagi esok untuk menjelaskan perkara tersebut.
Dalam satu kenyataan semalam, Khairy mendesak Pua memohon maaf berikutan kenyataannnya bahawa penjawat awam hanya terdiri daripada orang Melayu yang mengalami masalah pengangguran.
Utusan Malaysia melaporkan Khairy mendesak Pua dan DAP mengambil langkah memperbetulkan kata-kata mereka yang dianggapnya "langsung tidak bertimbang rasa dan begitu menghina sekali".
'Dakwaan tidak berasas'
"Mereka perlu meminta maaf kepada seluruh kakitangan di sektor awam ribuan cikgu, jururawat, polis, tentera dan kakitangan sokongan yang terus berbakti kepada seluruh rakyat Malaysia," kata Khairy dalam satu kenyataan semalam.
Dalam hal ini, Khairy berkata, kenyataan Pua itu memangnya tidak berasas dan perlu ditolak samasekali kerana ramai kakitangan awam sanggup melepaskan kerja dengan gaji dan manfaat yang lumayan di sektor swasta disebabkan mahu berkhidmat kepada negara.
"Nyata sekali, Tony Pua hanya memperkecilkan kebolehan, jasa serta sumbangan kakitangan kerajaan kepada negara," katanya.
Pemuda Umno, kata Khairy, menyokong sepenuhya dasar kerajaan untuk mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan awam.
"Sesungguhnya masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menjadikan sektor perkhdimatn awam kita lebih cekap dan berkesan.
"Kami amat mengalu-alukan tindakan kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam dan berharap bahawa ia akan dibalas dengan peningkatan produktiviti dan integiri dalam sektor itu," katanya. berita asal

