Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan pulang hari ini selepas para doktor puashati dengan tahap kesihatan bekas Perdana Menteri itu selepas 10 hari dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke IJN pada 15 Mac lalu selepas menghadapi masalah sesak nafas sewaktu melawat Langkawi.

Dr Mahathir yang kelihatan berbaju batik merah, dibenarkan pulang pada jam 2.50 petang dengan ditemani Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali dan anak kedua mereka, Datuk Mokhzani, doktor peribadinya Dr Nasir Muda dan beberapa orang jururawat.

Menurut laporan Bernama, orang ramai serta kakitangan IJN dan Pegawai Eksekutif IJN, Mohamed Radzif Mohamed Yunus menunggu untuk mengucapkan selamat jalan kepada Dr Mahathir sewaktu beliau keluar dari lif IJN menuju ke pintu utama.

"Tun Dr Mahathir akan terus menjalani fisioterapi dada dan melakukan senaman ringan sebagai sebahagian daripada program pemulihan jantung," kata satu kenyataan IJN.

Dr Mahathir mengadu sesak nafas ketika berada di Langkawi bersama Dr Siti Hasmah pada 14 Mei lalu dan dimasukkan ke Hospital Langkawi sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Kardiak IJN di Kuala Lumpur keesokannya.

Para doktor kemudian mengesahkan Dr Mahathir mengalami kongesi paru-paru yang dikaitkan dengan miokardial infarksi dan masalah basal bronkitis yang teruk pada paru-paru beliau.