KDN barbarik, kata pemilik kedai
Pemilik Toko Buku Rakyat Benz Ali atau nama penuhnya Amir Hamzah Akal Ali tidak berpuas hati dengan penjelasan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berhubung rampasan dua naskah bukunya, Jumaat lalu.
Dalam kenyataan kepada Malaysiakini, dia berkata, tindak-tanduk Kementerian Dalam Negeri (KDN) bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang retoriknya sebelum ini ialah reformasi, adalah barbarik.

“Bukan isunya (hantar) bil tak bil. Kedua-dua buku itu tidak ada dalam senarai perintah larangan.
“Dan buku (Marx Sang Pendidik Revolusioner, tulisan) Robin Smalls itu pernah dirampas tahun 2015, tapi selama sembilan tahun dari dirampas, masih tetap tidak diharamkan,” katanya.
Semalam, Saifuddin mempertahankan tindakan bahagian penguatkuasaan dan kawalan KDN itu.
Katanya, itu bukan rampasan tetapi sekadar mengambil dua naskhah berikutan aduan awam.
Sambil berseloroh, menteri berkata, jika pemiliknya tidak berpuas hati, dia boleh menghantar bil dua buku tersebut kepada KDN.
Bagaimanapun dia mengingatkan bahawa mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, kerajaan mempunyai hak untuk mengambil dua buku itu.

Dia berkata selain buku bertajuk Marx Sang Pendidik Revolusioner, buku Koleksi Puisi Masturbasi turut diselidiki dan diteliti jika isi kandungannya yang mengandungi unsur boleh menggugat ketenteraman awam.
Namun, buat Amir Hamzah, akta itu adalah sangat lapuk dan kuno.
“Akta itu dibuat dari era (bekas perdana menteri) Mahathir Mohamad dan masih digunakan sehingga rejim Anwar Ibrahim.
“Jadi apakah yang reformasinya kerajaan Madani ini?” soalnya.
Malah, katanya, alasan yang digunakan kerajaan boleh digunakan terhadap apa sahaja buku dan bertindak ke atas mereka yang tidak berideologi sama dengan pemerintah.

Sebelum ini, Pemuda PKR (AMK) turut menyelar rampasan dua buku itu dengan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai pilih kasih terhadap perbahasan idea.
Naib ketuanya Tyra Hanim Razali berkata, pertentangan idea perlu dimaknai dalam Malaysia Madani dan tidak harus menjadi hanya “lip service” (cakap kosong).
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/7d1fefbbebd6b8a678191e115bc55914.jpg)
