Seorang pekerja rencam terpaksa meringkuk dalam penjara selama 13 tahun selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya atas pertuduhan melakukan serangan seksual fizikal ke atas anak perempuan yang berumur 13 tahun, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hadhariah Syed Ismail, Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah turut mengarahkan lelaki itu dikenakan enam sebatan.

Tertuduh sebelum ini dibebaskan atas jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya dilupuskan.

Dia bagaimanapun diperintah memulakan hukuman penjara hari ini.

Dalam keputusan yang dicapai secara sebulat suara, Hadhariah berkata sabitan kesalahan terhadap lelaki itu adalah selamat untuk dikekalkan.

Justeru, dia berkata panel terbabit menolak rayuan tertuduh terhadap sabitan serta hukuman dan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi sebelum ini.

Pada 20 April 2021 lelaki berusia 42 tahun itu pada mulanya dibebaskan oleh mahkamah sesyen daripada pertuduhan melakukan serangan seksual terhadap anaknya.

Kejadian didakwa berlaku di rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Kampar, Perak pada Julai 2018. Pihak pendakwaan kemudian membuat rayuan ke mahkamah tinggi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pada 30 Jun tahun lalu mahkamah tinggi membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan mahkamah sesyen yang membebaskan lelaki itu.

Mahkamah tinggi kemudian mensabitkan lelaki tersebut dengan kesalahan itu dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dengan dua sebatan.

Mahkamah juga mengenakan hukuman tambahan penjara tiga tahun dan empat sebatan seperti diperuntukkan Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana tertuduh memiliki hubungan bersifat amanah dengan mangsa sebagai bapa kandung.

Mahkamah tinggi juga memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan selain pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai hukuman penjara.

Peguam A Srimurugan mewakili tertuduh manakala timbalan pendakwa raya Solehah Noratikah Ismail dan P Sarulatha hadir bagi pihak pendakwaan.

- Bernama