Pelajar dakwa peluk Islam kerana bimbang gagal dalam kursus elektrik
C Ragu, 20, mengikuti kursus di sebuah institusi vokasional kerajaan dengan harapan suatu hari nanti dia akan menjadi seorang juruelektrik.
C Ragu, 20, mengikuti kursus di sebuah institusi vokasional kerajaan dengan harapan suatu hari nanti dia akan menjadi seorang juruelektrik.
Dalam bulan Januari tahun lalu kira-kira enam bulan sebelum tamat kursusnya kejadian aneh dan drastik berlaku yang menghalangnya daripada menamatkan kursusnya itu.
Dia mendakwa, ketika itu, dua orang ustaz dan seorang pentadbir di institusi tersebut telah memaksanya menandatangani dokumen bahawa dia telah memeluk Islam.
"Saya percayakan mereka (dan menandatangani dokumen tersebut) kerana seorang pegawai pentadbiran (dari institusi itu) turut berada di situ," kata Ragu, yang mengamalkan ajaran agama Hindu seperti anggota keluarganya yang lain.
Menceritakan kejadian tersebut, Ragu berkata, dia sedang mengikuti kelas amali pemasangan wayar pada 26 Januari tahun lalu, apabila secara tiba-tiba dia dibawa pergi oleh dua orang ustaz dan pegawai pentadbir tersebut, selama kira-kira tiga jam.
Dia dibawa ke Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Kajang dan menurutnya dia dipaksa menandatangani dokumen-dokumen dan terus diberi nama baru, Muhammad Ashraf Abdullah di hadapan ustaz yang bernama Rahman Siva.
"Ketika itu saya takut mereka akan menggagalkan pengajian saya (jika saya tidak menandatangani dokumen tersebut," kata Ragu.
'Dokumen sementara'
Ragu berkata, dia pertama kali bertemu dengan ustaz tersebut pada hari kejadian itu.
"Pada awalnya, sesetengah rakan saya telah menceritakan kepada saya mengenai kebaikan Islam. Mereka kemudiannya memberitahu ustaz tersebut mengenai diri saya. Ustaz itu minta saya datang ke pejabatnya (pada hari berkenaan).
"Mereka bawa saya pergi ambil gambar (saiz pasport) sebelum menyuruh saya menandatangani dokumen-dokumen tersebutselepas semuanya selesai, mereka bawa saya makan tengahari sebelum menghantar saya balik ke institusi tersebut," katanya.
Ragu kemudiannya menghubungi bapanya pada malam itu, yang datang mengambilnya pulang dan tidak kembali lagi ke institusi tersebut.
Dokumen yang ditandatangani Ragu itu menyatakan ia adalah satu dokumen sementara (bawah) sah untuk tempoh enam bulan mengenai status agama penandatangannya sementara menunggu kad rasmi dikeluarkan. Ragu tidak pernah menerima kad tersebut.
Ibubapa Ragu telah puas berusaha untuk mengembalikan status agama rasmi anak mereka itu tetapi tidak berjaya.
Dia pernah membuat laporan polis di ibupejabat polis Cheras dan melalui sebuah firma guaman, telah menghantar surat kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk membatalkan pengisytiharan bahawa Ragu telah memeluk Islam.
Pada 9 Februari tahun lalu, Ragu membuat satu pengisytiharan berkanun mengenai kejadian pada 26 Januari itu dan membuat pengisytiharan bahawa dia beragama Hindu.
Dalam usaha terbaru untuk menyelesaikan masalah tersebut, mereka telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, meminta beliau campurtangan dalam perkara tersebut.
Penjelasan Mais
Ketika dihubungi hari ini, penolong pegawai dakwah Mais, Jauharul Mohd Tahuddin mengesahkan Ragu adalah seorang Islam.
Dalam kes Ragu, kata Jauharul, dia telah diberi taklimat selama 30-40 minit bagi memastikan dia faham apa yang ditandatanganinya dan dia tidak dipaksa memeluk Islam.
"Kita telah berusaha memberi penjelasan kepada saudara baru, tetapi mereka tiba-tiba datang semula kemudiannya untuk mengubah fikiran," kata Jauharul apabila dimaklumkan bahawa Ragu telah membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam selepas kejadian tersebut dan membuat pengisytiharan berkanun selepas itu.
Katanya, dokumen yang ditandatangani oleh Ragu itu tidak sah untuk tujuan rasmi seperti untuk tujuan perkahwinan dan kad rasmi untuk membuktikan dia telah memeluk Islam tidak dikeluarkan.
"Dia perlu menghadiri kursus selama lima hari mengenai Islam dan hanya selepas itu, baru dia akan diberikan kad tersebut," jelas Jauharul.
Mengenai status agama yang tertera pada MyKad Ragu, beliau berkata, ia menjadi tanggungjawab saudara baru itu sendiri untuk mengemaskini status agama mereka dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Seorang pegawai pentadbiran di institusi tersebut, ketika dihubungi hari ini, enggan mengulas mengenainya tetapi berkata akan memaklumkan perkara itu kepada 'bosnya". Walaupun dua kali ditanya, beliau enggan menyatakan siapa bosnya itu.
PM digesa bertindak
Dalam surat kepada Abdullah, peguam hak asasi manusia, P Uthayakumar mendakwa, beliau menerima banyak aduan berhubung perkara yang sama berlaku di institusi pendidikan kerajaan yang lain.
Katanya, ibubapa pelanggannya itu juga tidak mahu menghantar anak-anak mereka mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kerana sudah hilang kepercayaan terhadap pihak berkuasa.
Mengenai kes Ragu, Uthayakumar menggesa kabinet campurtangan bagi menghilangkan rasa bimbang keluarga bukan Islam untuk menghantar anak-anak mereka belajar di institusi pendidikan kerajaan.
Ketika dihubungi kemudiannya, Uthayakumar berkata mereka yang memaksa Ragu berbuat demikian telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pelajaran 1996
Artikel 12 (3) dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan tiada sesiapa boleh diarah atau mengambil bahagian dalam majlis atau upacara agama selain daripada agama anutannya.
Manakala Seksyen 51 (b) Akta Pelajaran 1996 pula menyatakan tiada pelajar harus menghadiri pengajaran agama selain agama yang dianutinya, kecuali dengan kebenaran bertulis ibubapanya.
"Ibubapa menghantar anak-anak mereka ke institusi pendidikan semata-mata untuk belajar. Selain daripada itu, pihak institusi berkenaan mesti mendapatkan kebenaran ibubapa," kata Uthayakumar.

