Waran tangkap terhadap Jamal Abdillah
Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap penyanyi Jamal Abdillah dan sepupunya Azly Hussham Mohamad Zambi setelah kedua-duanya gagal menghadiri sebutan semula kes tuduhan memiliki dadah.
Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap penyanyi Jamal Abdillah dan sepupunya Azly Hussham Mohamad Zambi setelah kedua-duanya gagal menghadiri sebutan semula kes tuduhan memiliki dadah.
Majistret Azizah Aling memerintahkan waran tangkap itu dikeluarkan selepas pihak pendakwaan membuat permohonan apabila Jamal dan Azly Hussham tidak muncul di mahkamah sehingga tengah hari.
Menurut laporan Bernam, mahkamah menetapkan 10 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Azizah berkata, mahkamah tidak memberi sebarang keistimewaan kepada sesiapa dalam membuat pendakwaan selepas menolak permohonan penjamin Mohd Zauti Hussin yang meminta kes ditunda kerana mendakwa tarikh sebutan sebenarnya adalah esok.
"Rekod mahkamah menunjukkan tarikh sebutan semula kes adalah pada hari ini," katanya.
Ikatjamin
Jamal, nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 47, dituduh secara bersama memiliki dadah berbahaya jenis syabu seberat 0.5 gram pada 8.30 malam 18 Januari lalu di rumah pekerja di Rumah Rehat Teluk Intan.
Dia dan sepupunya itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Semasa dihadapkan pada 19 Januari lalu, Jamal mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikatjamin, manakala Azly Hussham yang mengaku bersalah, juga dibebaskan dengan ikatjamin.
Ikatjamin bagi Azly Hussham itu adalah bagi menunggu laporan kimia sebelum hukuman dijatuhkan terhadapnya.
Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa Cif Inspektor K. Bala Krisnan.

