Pemilihan pucuk pimpinan PAS akan tetap diteruskan seperti yang dijadualkan awal bulan ini walaupun parti itu sedang bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang dijangka diadakan dalam masa terdekat ini, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Menurutnya, tidak ada sebab pemilihan parti itu ditangguhkan dan persiapan pun telah dibuat sepenuhnya.

"Proses penerimaan pencalonan akan berakhir Ahad ini. Jika mereka tidak menjawab, bermakna mereka menerima pencalonan," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Kamaruddin menegaskan demikian ketika ditanya mengenai desas-desus yang mengatakan kemungkinan besar pemilihan parti itu ditunda untuk memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pilihanraya umum.

Muktamar PAS akan berlangsung di Kota Baru, Kelantan dari 1 hingga 3 Jun ini. Kecuali jawatan presiden, semua jawatan lain dijangka dipertandingkan.

Pertandingan jawatan timbalan presiden dijangka menyaksikan persaingan dua penjuru antara penyandang sekarang, Nasharuddin Mat Isa dengan Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib.

Dalam perkembangan berkaitan, Kamaruddin berkata, kempen yang mengaibkan peribadi orang lain, tidak dibenarkan dalam pemilihan parti, memandangkan ia juga bukan amalan PAS.

Budaya tidak berkempen

Bagaimanapun, katanya, memang menjadi budaya PAS di mana calon yang bertanding tidak suka berkempen.

"Apa yang sering berlaku ialah mereka yang gemar berkempen selalunya akan kalah dalam pemilihan parti, mungkin kerana perwakilan tidak suka dan beranggapan mereka terlalu berkehendakan jawatan," katanya.

Sehingga ini, kata Kamaruddin, kempen menggunakan SMS tidak berlaku di kalangan calon berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Dulu memang hangat tetapi kali ini nampaknya tidak berlaku pula kempen menggunakan SMS," katanya.

Dalam muktamar sebelum ini, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang jawatan presiden tanpa bertanding manakala Nasharuddin memenangi jawatan timbalan presiden selepas menewaskan penyandangnya ketika itu, Hassan Shukri dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Jawatan naib presiden pula dimenangi oleh Datuk Hassan Ali, Mohd Sabu dan Datuk Husam Musa.