RUU untuk kembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen dibentang Okt
Rang undang-undang untuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen dijadualkan dibentangkan pada sesi parlimen Oktober ini.
Menurut The Star, Yang Dipertua Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kabinet akan meneliti draf rang undang-undang itu tidak lama lagi.
“Saya mulakan cadangan itu semasa saya menteri (undang-undang) semasa pentadbiran sebelum ini,” kata Wan Junaidi.
Wan Junaidi berkhidmat sebagai menteri undang-undang dan hal ehwal parlimen di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob antara Ogos 2021 dan Oktober 2022.
Dia berkata draf rang undang-undang itu akhirnya selesai pada malam Rabu.
“Ia menandakan langkah sebenar pertama untuk Akta Perkhidmatan Parlimen dihidupkan semula selepas 30 tahun,” katanya.
Akta Perkhidmatan Parlimen adalah undang-undang yang membenarkan Parlimen mentadbir hal ehwalnya sendiri - termasuk pemilihan kakitangan pentadbiran dan kewangan tertinggi - tanpa merujuk kepada Putrajaya.
Peralihan enam bulan
Undang-undang ini telah dimansuhkan semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1992.
Dia berkata sebuah majlis, yang terdiri daripada wakil pelbagai kementerian dan ahli parlimen, akan ditubuhkan untuk menyelia hal ehwal parlimen.
“Janji saya kepada perdana menteri ialah saya akan membentangkan rang undang-undang ini selewat-lewatnya Oktober ini.
“Apabila undang-undang itu diluluskan dan dikuatkuasakan, peralihan enam bulan akan diberikan untuk pelaksanaannya,” katanya.
Tempoh peralihan akan membolehkan kakitangan parlimen semasa membuat keputusan sama ada mereka akan terus berkhidmat untuk parlimen atau perkhidmatan awam.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/df7431e50ff79377a6f3c1d415e44069.jpg)
