Umno hari ini memberi peringatan kepada anggotanya berhubung sebarang pelanggaran disiplin dan tindakan yang menyalahi perlembagaan parti.

Walaupun tidak merujuk mana-mana pihak secara khusus, kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agong Umno Asyraf Wajdi Dusuki itu susulan tindakan Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis yang hadir ke acara pengumuman calon PN bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, dua hari lalu.

Asyraf berkata Umno memandang serius sebarang isu berhubung pelanggaran disiplin dan justeru itu lembaga disiplin parti diberi kuasa penuh dan berkecuali untuk menyiasat, memperhalusi dan mengambil tindakan wajar atas sebarang kes yang berlaku.

"Fasal 20.9 (f) dalam Perlembagaan Umno jelas menggariskan prinsip penting untuk setiap ahli 'memelihara nama baik dan maruah parti' dan tidak melakukan apa sahaja bentuk tindakan, perlakuan, penulisan mahupun percakapan yang boleh ditafsirkan menyanggahi prinsip ini.

"Penyertaan mana-mana ahli dalam satu-satu pakatan yang tidak dianggotai Umno atas nama apa sekali pun juga turut diperincikan dalam Fasal 20.11 Perlembagaan Umno," katanya.

Bagaimanapun Fasal 20.11 menyentuh tindakan Adun dan ahli parlimen Umno yang menyertai "pakatan politik yang tidak dianggotai Umno" atau menjadi wakil rakyat bebas, serta berkenaan ahli yang bertanding dalam pilihan raya sebagai calon bebas atau "pakatan politik" yang tidak dianggotai parti itu.

Keahlian mana-mana ahli yang berbuat demikian akan tergugur secara automatik.

Semalam, Muhammad Jailani mempertahan tindakannya itu dengan berkata ia bukan atas kapasiti sebagai Adun Umno.

Menurut The Star, dia berkata kehadirannya itu bagi pihak NGO Muafakat Nasional yang diterajui bekas setiausaha agung BN Annuar Musa.

Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia telah dimaklumkan berkenaan perkara itu dan ia akan disiasat.

Jailani memenangi kerusi Rembia pada 2018 atas tiket PKR tetapi keluar parti pada 2020. Dia kemudian menyertai Umno menjelang PRN Melaka pada tahun berikutnya.

Asyraf menyeru ahli Umno supaya terus bersatu dan bersetia dengan parti yang merupakan komponen penting dalam kerajaan persekutuan.

"Justeru, saya menyeru ahli-ahli Umno untuk kekal bersatu dan bersetia dengan wadah yang menjadi induk penting dalam kerajaan perpaduan hari ini untuk terus memelihara Islam dan memartabatkan agenda Melayu-Bumiputera sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Umno," katanya.