Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadis 40: MCA gesa tangguh pelaksanaan, bincang semula di kabinet
Diterbitkan:  Aug 25, 2023 9:26 PM
Dikemaskini: 1:26 PM

Biro Perhubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA menggesa kerajaan menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi agar ia boleh dibincangkan semula di peringkat kabinet.

Ketuanya Cally Ting Zhao Song berharap kabinet dapat mencapai persetujuan agar modul itu hanya dilaksanakan di sekolah agama dan tidak melibatkan sekolah kerajaan.

"Jika ia dilaksanakan juga di sekolah kerajaan, ia haruslah diajar dalam mata pelajaran agama sahaja dan bukannya dilaksanakan di seluruh sekolah termasuklah dalam Perhimpunan Rasmi Mingguan atau aktiviti kokurikulum.

"Kementerian Pendidikan perlu menetapkan garis panduan kementerian secara rasmi dan menyatakan dengan jelas persetujuan yang dicapai oleh kabinet, merangkumi bentuk dan skop modul tersebut bagi mengelakkan berlakunya penyimpangan dan hal-hal yang tidak jelas," katanya dalam kenyataann hari ini.

Program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi itu akan dilaksanakan di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.

Terdahulu, ia menimbulkan polemik terutama di kalangan penganut bukan Islam, antaranya Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) menyatakan "kebimbangan mendalam" terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari modul itu juga.

Bagaimanapun, pegawai khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Swee Kuan semalam menjelaskan ia akan diajar kepada pelajar Islam sahaja.

Hari ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi memberi jaminan itu, dengan berkata ia tidak akan dipaksakan kepada penganut agama lain.

Sementara itu, Ting turut menggesa empat menteri bukan Islam daripada DAP untuk menyampaikan kerisauan yang timbul ketika perkara itu dibincangkan di kabinet nanti.

"Kementerian Pendidikan juga harus mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk daripada pakar pendidikan, persatuan pendidikan dan wakil ibu bapa sebelum membuat keputusan akhir.

Ting menekankan Malaysia adalah negara dengan pelbagai kaum dan agama, dan semua rakyat perlu hidup bersama dan hormat antara satu sama lain.

Katanya, Kementerian Pendidikan diharap akan mengambil kira perasaan semua rakyat sebelum melaksanakan sebarang rancangan atau dasar yang melibatkan unsur kaum dan agama.

Lihat Komen
ADS