Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Taja main golf antara imbalan syarikat judi pada VIP
Diterbitkan:  Aug 27, 2023 10:18 AM
Dikemaskini: 2:18 AM

Pemimpin politik antara adalah orang kenamaan (VIP) dikesan Suruhanjaya Pen­­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima dana daripada syarikat judi untuk digunakan ketika pilihan raya.

Menurut laporan Mingguan Malaysia hari ini, dana berkenaan digunakan seawal PRU ke-14, selain semasa PRU ke-15 dan pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

Memetik sumber yang tidak dinamakan akhbar itu mendakwa dana sebanyak antara RM6 juta hingga RM7 juta diterima pihak yang berkenaan selepas syarikat perjudian terbabit diberi lesen operasi ke atas mesin slot di kelab persendirian dan persatuan tertentu.

Menurut laporan itu lagi, kes tersebut terbongkar selepas 13 individu termasuk seorang Tan Sri ditahan SPRM pada Rabu lalu.

Kesemua yang ditahan, lapor akhbar itu lagi, berusia antara 30 hingga 79 tahun dan mereka membabitkan pemilik syarikat pembekal mesin slot judi.

Selain bagi tujuan politik, syarikat judi tersebut juga dikatakan dipaksa menaja pelbagai aktiviti membabitkan VIP seperti bermain golf di kelab-kelab mewah.

Menurut sumber itu lagi, SPRM juga ti­dak menolak kemungkinan sya­rikat-syarikat terbabit turut membuat bayaran tetap secara bulanan kepada pihak berkuasa agar operasi judi mereka tidak diganggu.

“Beberapa individu bergelar Datuk Seri dan Datuk berada dalam siasatan dan mungkin dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan memandangkan ada antara me­reka kini berada di luar negara,” kata sumber itu seperti dilaporkan.

Sumber berkenaan turut memaklumkan kerajaan melalui sebuah kementerian sebelum ini melu­luskan 159 lesen judi kepada syarikat-syarikat tersebut.

“Sejak 2003, kuota mesin slot setiap lesen ialah 15 unit bagi premis di Semenanjung Malaysia dan 10 unit di Sabah," katanya.

Setiap unit mesin slot tersebut, katanya, perlu didaftarkan dan mendapat kelulusan. Hasil setiap unit mesin judi tersebut, katanya, akan dikenakan cukai oleh kerajaan sebanyak 35 peratus.

“Setiap lesen mesin slot perlu diperbaharui setiap tiga bulan bagi sebuah kelab (syarikat) ma­nakala setahun sekali bagi persatuan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS