Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat perjudian nafi biayai kempen pilihan raya
Diterbitkan:  Aug 29, 2023 3:48 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

RGB International Bhd menafikan syarikat itu terlibat dalam sebarang bentuk pembiayaan kempen pilihan raya seperti yang sedang disiasat oleh SPRM.

Syarikat itu berkata demikian ketika mengulas laporan yang mendakwa eksekutif tertinggi mereka telah ditangkap oleh suruhanjaya antirasuah berkenaan.

“Lembaga pengarah ingin menjelaskan bahawa RGB Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh syarikat itu hanya melakukan penjualan langsung mesin slot dan aksesorinya, serta tidak mempunyai penglibatan atau pemilikan dalam kelab slot Malaysia.

“Syarikat ingin menyatakan bahawa ia tidak dan tidak akan membenarkan sebarang bentuk ‘pembiayaan politik’,” kata RGB International Bhd dalam satu kenyataan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) semalam.

Syarikat itu menegaskan bahawa pengarahnya tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana ahli politik dan sedang bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan SPRM.

Menurut syarikat itu, mereka mengamalkan pendekatan toleransi sifar terhadap sogokan dan rasuah serta menjunjung standard pematuhan yang tinggi.

"Jika mana-mana pihak menyimpang daripada pendekatan toleransi sifar syarikat, kami akan mengambil tindakan yang perlu untuk melindungi kepentingan pemegang saham dan semua pemegang kepentingan yang relevan," kata kenyataan itu.

Adalah dilaporkan hari ini bahawa siasatan SPRM didakwa menemui bukti yang menunjukkan bahawa dana daripada beberapa syarikat perjudian  digunakan untuk membiayai sekurang-kurangnya tiga kempen pilihan raya sejak 2018.

SPRM dikatakan mendapati dana bernilai RM6 juta hing­ga RM7 juta itu dipercayai di­terima orang kenamaan dan pemimpin politik selepas syarikat perjudian ter­sebut diberi lesen mengope­rasikan aktiviti mesin slot di kelab persendirian dan persa­tuan dimiliki syarikat pengendali mesin judi.

Sekurang-kurangnya 14 orang dilaporkan telah ditahan dan lebih ramai lagi akan dipanggil bagi menyelesaikan skandal perjudian membabitkan rasuah berkenaan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS