Isu fitnah kononnya Selangor sedang cuba menutup sekolah agama persendirian atau institusi tahfiz di negeri itu kini ditangani oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata siasatan tersebut dijalankan selepas pihak berkuasa menerima tiga laporan baru-baru ini.

Katanya laporan tersebut dibuat di Perak.

"Siasatan membabitkan tiga akta iaitu Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Hussein berkata demikian ketika ditanya berhubung perkembangan isu dakwaan pihak tertentu mengenai kononnya Selangor mahu menutup kira-kira 200 sekolah agama persendirian atau institusi tahfiz di negeri itu.

Semalam Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan supaya pihak polis mengesan kumpulan pemfitnah terbabit yang menyebarkan dakwaan berkenaan.

Dalam titahnya, Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa golongan itu perlu segera memberhentikan perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

"Dan andai kata mereka meneruskan perbuatan fitnah dan khianat ini, beta mohon pihak polis segera mengesan kumpulan pemfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

"Pada hakikatnya beta telah menitahkan agar langkah pemutihan diambil terhadap sekolah-sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian yang tidak berdaftar dengan mengarahkan pendaftaran dibuat bagi memastikan sekolah-sekolah ini adalah selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya dan mempunyai suasana pembelajaran yang selesa untuk para pelajar menimba ilmu," titah baginda.

Kenyataan itu menyusul selepas berlangsungnya mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam.

Sebelum ini muncul dakwaan Selangor sedang dalam proses menutup ratusan sekolah agama persendirian dan ia dikaitkan dengan DAP.

Kerajaan negeri menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan ia adalah atas titah Sultan Sharafuddin yang mahu semua institusi terbabit didaftarkan bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Menurut Kerajaan Selangor, Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) yang dibangkitkan bermula sejak awal 2021 lagi serta bagi mengelakkan kejadian seperti kebakaran maut di institusi agama sebelum ini.

Sesebuah sekolah agama persendirian juga dikehendaki mematuhi beberapa syarat keselamatan.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin juga bertitah supaya institusi tahfiz swasta dan persendiran yang belum berdaftar dengan pihak berkuasa agama Islam negeri agar segera melaksanakannya.