Peis minta S'gor tubuh unit khas yakinkan semula pengundi India
Susulan 'undi protes' dalam kalangan pengundi India semasa berlangsungnya pilihan raya negeri (PRN) di Selangor baru-baru ini, sebuah persatuan mencadangkan Amirudin Shari mewujudkan unit transformasi khusus untuk menyakinkan pengundi terbabit agar terus mengundi PH.
Persatuan Eksekutif India Selangor (Peis) berkata unit transformasi itu perlu berfungsi seperti Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) yang diwujudkan kerajaan persekutuan semasa zaman Najib Razak.
Pengerusi Peis, Dr Sathia Prakash Nadarajan, berkata unit itu boleh memperkasa dan membangunkan taraf sosio ekonomi komuniti India di Selangor.
"Satu fakta yang kita tak boleh nafikan ialah sokongan pengundi India kepada PH merosot akibat rasa tidak puas hati.
"Ini menyebabkan PH kalah di beberapa kerusi seperti di Gombak Setia, Taman Medan, Bukit Melawati, Semenyih, Ijok dan juga Hulu Kelang," katanya.
Sathia Prakash menambah, walaupun kerajaan negeri sebelum ini mewujudkan pelbagai inisiatif kepada rakyat Selangor, masih terdapat beberapa kecacatan mengakibatkan ia tidak sampai kepada kumpulan sasar khususnya dalam kalangan masyarakat India.
Justeru penyelaras kawasan parlimen Hulu Selangor itu berkata selaku menteri besar, Amirudin boleh mewujudkan unit transformasi khas itu sekali gus mengembalikan keyakinan mereka terhadap kerajaan negeri.
Sathia Prakash yang juga timbalan setiausaha agung PKR itu berkata, unit khas berkenaan perlu diketuai Amirudin sendiri sebagai Menteri Besar Selangor.
"Biar Selangor menjadi 'negeri hadapan' dalam usaha PH meraih kembali sokongan pengundi India.
"Selangor adalah negeri yang kaya dari segi pendapatan. Maka Peis percaya tidak ada masalah untuk kerajaan negeri mewujudkan unit khas ini dan memperuntukan dana untuk menjayakannnya," kata Sathia Prakash lagi.
Peis merupakan sebuah organisasi yang terdiri daripada semua ketua cabang PKR Selangor yang berbangsa India. Amirudin Shari merupakan penaungnya.
Daripada semua 22 cabang PKR yang ada di Selangor, sembilan daripadanya diketuai pemimpin berbangsa India.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/42a161264384cf1261a4b5d494fca5d6.jpg)
