Paling Popular
Terkini

Lusa seluruh negara bakal menyambut Hari Kebangsaan yang ke-66. Namun sejujurnya saya tak pasti sama ada kita benar-benar merasa teruja untuk menyambut hari yang penuh bersejarah itu atau sebenarnya langsung tak bersedia.

Buktinya, saya dah tak nampak kenderaan yang memasang bendera Malaysia di jalanan. Begitu juga dengan premis-premis perniagaan seperti restoran dan gerai termasuklah kawasan perumahan serta bangunan-bangunan besar yang kelihatannya masih kurang mengambil inisiatif untuk mengibarkan bendera jalur gemilang.

Kalau dulu, seawal bulan Ogos lagi kita dapat melihat rakyat berlumba-lumba mengibarkan bendera jalur gemilang sama ada di kenderaan mereka mahupun di kawasan perumahan dengan pelbagai gaya dan bentuk yang kreatif. Malangnya itu semua tidak kelihatan lagi.

Lebih menyedihkan, terdapat beberapa premis yang mengibarkan bendera Malaysia yang sudah lusuh, kotor dan terkoyak. Ia seolah-olah sudah dikibarkan bertahun lamanya tanpa diganti dengan baru.

Adakah itulah sikap kita dalam menyantuni bendera negara? Atau adakah ini menunjukkan bahawa saban tahu semangat dan jiwa merdeka kita semakin pudar?

Tujuan utama saya membina kerjaya dalam politik ialah kerana cintakan negara dan saya yakin ahli politik lain baik dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang juga mempunyai alasan yang sama. Disebabkan rasa cinta dan kasih pada negara ini, maka kita bertikam lidah dan bertukar pandangan samaada dalam parlimen atau di pentas politik lainnya.

Rakyat juga sanggup keluar seawal pagi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat terbaik dalam pilihanraya dalam usaha untuk memastikan wakil rakyat tersebut dapat memastikan negara mereka kekal aman, damai dan makmur.

Dari satu sudut ahli politik dan rakyat sudah memainkan peranan mereka sebagai anak Malaysia namun dari satu sudut yang lain, ia perlu diseimbangkan dengan pengibaran bendera di seluruh pelusuk negara.

Jangan pandang enteng tentang bendera kerana bendera negara merupakan simbol penghormatan dan lambang pengorbanan para pejuang kita yang tumpas di medan perang demi memerdekakan negara dari penjajah asing.

Kalau kita menyelusuri sejarah-sejarah peperangan, selain alatan senjata, bendera juga merupakan faktor penting untuk dibawa bersama kerana ia adalah lambang perjuangan sesebuah negara bahkan hanya orang tertentu sahaja diamanahkan untuk memegang bendera tersebut.

Mereka yang ditugaskan memegang bendera ketika peperangan selalunya dilihat sebagai individu yang sangat penting dan harus dilindungi kerana ia memberitahu tentang kedudukan seorang panglima perang dan panglima tersebut akan menjadi sasaran utama tentera musuh.

Ambil iktibar tentang pengorbanan Saidina Jaafar ketika dalam peperangan Mu’tah melawan Rom. Beliau mempertahankan bendera atau panji Islam sehingga kedua-dua tangannya putus dilibas pedang tentera Rom hanya semata-mata ingin memastikan bendera itu tidak jatuh ke tanah!

Bendera jugalah yang akan dinaik dan dikibar megah di sesebuah kawasan atau wilayah sebagai tanda kemenangan. Lihatlah, ternyata bendera negara adalah penting sebagai identiti sesebuah negara dan bangsa. Maka janganlah kita melihatnya sebagai sesuatu yang tidak penting.

Sebagai seorang ahli politik yang bertanggungjawab, saya menyeru kepada seluruh rakyat jelata untuk mengambil inisiatif dan rasa tanggungjawab dengan mengibarkan bendera jalur gemilang sama ada di kawasan perumahan mahupun di kenderaan anda.

Kalaulah dulu sewaktu pilihan raya kita boleh berhempas pulas mengibarkan bendera-bendera parti politik yang tak terkira banyak jumlahnya, maka tidak mustahillah kalau kita juga dapat menghiasi seluruh negara dengan bendera Malaysia.

Marilah kita bersama-sama menghayati hari kemerdekaan dengan penuh rasa bangga, kesyukuran dan keinsafan. Titipkan doa kepada semua pejuang kemerdekaan yang syahid demi ibu pertiwi.



RINA HARUN ialah bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dan pemimpin Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS