Amanah sekali lagi diberi jawatan speaker DUN Negeri Sembilan
Wakil dari parti Amanah akan dilantik menjadi speaker baru bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, manakala timbalannya pula dalam kalangan pimpinan PKR.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, mengesahkan persetujuan yang dicapai itu semasa sidang media di Seremban hari ini.
Menurut Aminuddin, untuk jawatan speaker, individu yang akan dicalonkan tidak semestinya dari kalangan ahli DUN (Adun).
“(Calon untuk) Jawatan speaker masih belum dimuktamadkan tetapi pada dasarnya dari Amanah.
"Kami serahkan kepada Amanah untuk menentukan (siapa yang dipilih) manakala jawatan timbalan speaker pula dari PKR," katanya dipetik Utusan Malaysia selepas mengadakan mesyuarat exco di Wisma Negeri, Seremban.
Aminuddin yang dilantik menjadi menteri besar untuk penggal kedua pada 14 Ogos lalu menjelaskan, nama yang dicadangkan itu nanti akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk mendapat perkenan.
Katanya nama itu kemudian dibawa ke DUN untuk diundi pada hari pertama persidangan penggal terbaru, 26 Sept ini
Dalam pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung pada 12 Ogos lalu gabungan PH dan BN berjaya memenangi 31 daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.
Tujuh belas daripadanya adalah calon PH manakala BN lagi 14. Amanah bertanding di dua kerusi DUN iaitu di Klawang dan Paroi, masing-masing melalui Bakri Sawir dan Norwani Ahmat.
Bagaimanapun hanya Bakri yang berjaya mempertahankan kerusi ditandingi Amanah.
Sebelum ini jawatan speaker disandang oleh Zulkefly Mohamad Omar yang juga pengerusi Amanah Negeri Sembilan.
Aminuddin berkata sidang pertama penggal ini akan berlangsung selama empat hari termasuk majlis perasmian iaitu pada 9 Okt ini dan bakal membabitkan dua rang undang-undang serta belanjawatan tambahan bagi pengurusan kewangan negeri.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/07/0051857038d3651dcbe7833944133bde.jpg)
