Abdul Rahman Othman dan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menarik diri daripada bertanding jawatan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan jam 3 petang ini.

Ini bermakna, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang tanpa bertanding bagi mengekal jawatan itu yang disandangnya sejak penubuhan parti Keadilan 1999. Keadilan kemudiannya bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk membentuk PKR.

Pengerusi persidangan, Ismail Yusop membuat pengumuman itu selepas menerima nota daripada Abdul Rahman, selepas Anwar berucap menjawab reaksi para perwakilan mengenai statusnya.

Pengumuman itu disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin. Dalam nota ringkas itu, Abdul Rahman berkata, beliau membuat keputusan itu selepas mendengar penjelasan Anwar mengenai perkara itu.

Abdul Rahman kemudian kelihatan memeluk Anwar, serta pemimpin PKR lain yang berada di atas pentas, termasuk Naib Presiden, Azmin Ali dan Bendahari Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Manakala Anwar pula memberitahu sidang akhbar untuk menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut, selepas pengerusi menangguhkan persidangan sehingga jam 2.45 petang sebelum proses pemilihan dimulakan.

Reaksi perwakilan

Dalam ucapan sebelum itu, Anwar telah meminta para perwakilan supaya mengundi Wan Azizah bagi mengekalkan jawatan presiden, berikutan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menolak permohonannya bertanding jawatan tersebut.

Anwar tidak dibenarkan aktif dalam politik selama lima tahun sehingga April tahun depan selepas disabitkan dengan hukuman salahguna kuasa sebelum ini.

Keputusan yang sukar

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau mangambil keptusan tidak bertanding jawatan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan kerana takut dipenjara tetapi tidak mahu parti menjadi mangsa.

Penasihat PKR itu berkata, beliau sudah dipenjara selama lapan tahun dan oleh itu, hukuman penjara tiga tahun adalah satu perkara kecil.

"Keputusan ini merupakan sangat sukar untuk dibuat sehingga saya berbincang dengan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan rakan-rakan dari PAS dan DAP mengenai perkara ini.

"Manakala teman-teman dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) memberi pendapat yang pelbagai sebelum saya ambil keputusan ini (menarik diri)," katanya ketika berucap kepada perwakilan di kongres nasional di Seremban hari ini.

Anwar berkata, ROS merupakan pegawai suruhan Umno yang langsung tidak menghormati hak orang.

"ROS menjadi pekakas politik pemerintah yang jijik sehingga sanggup menghantar jawapan kepada permohonan pengecualian yang saya pohon pada jam 4.30 petang," katanya.

Katanya, pada waktu pejabat sudah ditutup dan sukar untuknya mengambil sebarang tindakan, sedangkan hari ini adalah hari cuti umum.

Teriakan reformasi

Berikutan itu, beberapa pewakilan tampil memberi cadangan dan sebahagian besarnya mahu sanggup memperjuangkan hak Anwar sepertimana yang dilakukan sebelum ini.

Perwakilan bahagian Shah Alam, Ahmad Zaki Yamani berkata, ahli dan peyokong PKR tidak takut dengan ugutan ROS itu kerana mereka semua adalah pejuang.

"Kita telah berdiri teguh di belakang Anwar selama ini da rela untuk bangun sekali lagi untuk mempertahan Anwar," katanya disambut tepukan perwakilan.

Dewan menjadi bising apabila para perwakilan meminta Anwar supaya tidak tunduk kepada ROS sebaliknya bertanding jawatan presiden.

Teriakan reformasi bergema selain perwakilan berdiri untuk terus memberikan sokongan kepada Anwar.

Beberapa MPT seperti Mustaffa Kamil Ayub, ketua penerangan Tian Chua dan pemangku ketua Angkatan Muda (AMK) berdiri untuk memberikan sokongan kepada Anwar supaya menjadi presiden parti.

'Jangan tunduk'

Anwar dalam responsnya berjanji beliau sama sekali tidak akan tunduk kepada tekanan pemerintah sebalinya berjanji akan terus menjadi ketua walaupun Wan Azizah yang menjadi presiden parti.

Ketika berucap menjawab reaksi para perwakilan terhadap ucapannya sebelum ini, Anwar berkata, parti akan mengikut prosedur dan undang-undang dalam berdepan dengan ROS.

Oleh itu, katanya, pihaknya telah mengemukakan rayuan kepada menteri berkenaan dan kemudiannya membawa perkara itu ke mahkamah untuk semakan kehakiman.

Jika usaha itu berjaya, Anwar berkata, parti akan memanggil satu mesyuarat agung khas selepas itu.

"Kalau saudara pilih saya untuk terus memimpin, Insya-Allah saya akan pimpin, tetapi kita kena ikut peraturan dan undang-undang. Maka (bagi jawatan) presiden, kita kena beri laluan kepada (Wan) Azizah.

"Sepertimana kawan-kawan sebut, (ia) tidak lari banyak dari cara sekarang...sejak saya keluar dari penjara, itu yang kita lakukan, iaitu (Wan) Azizah presiden, saya pimpin...," katanya.

Perwakilan diminta akur

Sebelum itu, seorang perwakilan dari Johor meminta para perwakilan supaya jangan terlalu taksub terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Sebaliknya, beliau menasihatkan perwakilan supaya 'menilai diri' apakah parti itu dalam keadaan yang cukup kuat "untuk melakukan apa yang kita cakap hari ini".

Malah, katanya, untuk mengadakan mesyuarat pun, ada tempat yang tidak cukup kuorum.

Oleh itu, katanya, tidak kira siapa pun yang menjadi pemimpin "jika kita tidak berubah, kita tidak akan menang satu pilihanraya pun".

Beliau juga mencadangkan supaya pemilihan tahun ini ditangguhkan ke tahun depan untuk memboleh Anwar bertanding jawatan presiden.

Bekas timbalan perdana menteri itu tidak dibenarkan aktif dalam politik selama lima tahun sehingga April tahun depan selepas disabit dengan hukuman salahguna kuasa sebelum ini.

Manakala perwakilan dari Tuaran pula meminta perwakilan akur kepada hasrat penasihat PKR itu bahawa beliau akan memimpin tetapi Wan Azizah dilantik semula sebagai presiden.

"Kita mesti akur dengan nasihat beliau...kita tiak mahu parti ini berkubur, dibatalkan dan akhirnya sia-sia sahaja kita berkongres pada hari ini," katanya.

Perwakilan dari Dungun juga turut menggesa supaya perwakilan akur dengan nasihat Anwar.

"Kalau kita tabal beliau sebagai penasihat, mengapa tidak dengar nasihat beliau...," katanya