Parti Keadilan Rakyat (PKR) digeruni bukan sahaja kerana memiliki pemimpin kelas pertama tetapi dasar parti yang menjangkau batas kaum, agama dan kefahaman sempit, kata Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"PKR percaya tidak akan wujud satu kaum pun yang dapat mendirikan kerajaan secara bersendirian.

"Sebagai anak merdeka kita harus mencapai muafakat semua kaum dan terbaik untuk bekerjasama secara terbuka dan ikhlas melalui parti yang memperjuangkan untuk rakyat.

"Setelah lapan tahun memimpin, saya berasa syukur dan bangga dengan pencapaian kita selama ini, walaupun menghadapi tekanan yang kuat dari pemerintah," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden bertajuk `Mari Menuju Kejayaan' di kongres nasional PKR di Seremban pagi ini.

Hadir sama ialah Anwar selaku penasihat PKR; Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali; Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Kira-kira 1,000 menghadiri majlis perasmian tersebut.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, reformasi perlu difahami dan diteruskan sebagai agenda besar bangsa hari ini.

Peluang perbaiki diri

Katanya, pejuang reformasi sudah memulakan langkah kanan sejak sekian lama dan ia adalah agenda utama perjuangan golongan muda sejak dahulu lagi.

"PKR berpendirian, anak muda harus diberi tanggungjawab dan jika mereka melakukan kesalahan, mereka harus diberi peluang untuk memperbaikinya kerana di situlah mereka menjadi matang.

"Orang muda tetap akan diberikan ruang untuk turut sama menjayakan agenda parti. Ini janji dan jaminan saya," katanya sambil menambah bahawa pimpin harus bijak dan adil dalam menangani krisis pengurusan, pergeseran dalam perbezaan pendapat dan pandangan.

Katanya, setiap konflik mesti ditangani sebelum merebak menjadi krisis dan krisis mesti dihentikan segera sebelum membiak menjadi konfrontasi.

Beliau berkata, hanya kematangan berfikir dan keutamaan perjuangan yang lebih besar dapat mematikan benih-benih konflik yang sememangnya tidak dielakkan dalam setiap organissai.

"Kita harus mengizinkan teguran terhadap pemimpin, namun harus menurut lunas dan tatatertib, berhemah yakni mematuhi adab berjemaah," katanya.

Kata sepakat

Dr Wan Azizah berkata, pejuang PKR harus berjiwa besar dan segar, semangat juang harus dikentalkan dan langkah gerakan perlu dicergaskan.

Katanya, pimpinan tertinggi parti kini di peringkat akhir mengenalpasti kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi.

Beliau berkata, harapan parti ialah dapat mencapai kata sepakat dengan parti pembangkang lain agar konsep satu lawan satu dapat dipratikkan.

"Setelah pemimpin membuat keputusan, jangan ada suara-suara yang berbaur perpecahan kerana ia akan diambil kesempatan oleh pihak lawan," katanya.