Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persatuan pelajar kutip dana untuk cabar garis panduan konsert
Diterbitkan:  Sep 3, 2023 8:30 AM
Dikemaskini: Sep 4, 2023 3:47 AM

Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) melancarkan kempen pendanaan awam untuk memulakan tindakan undang-undang berhubung garis panduan menganjurkan konsert yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi bagi institusi pengajian tinggi.

Keputusan itu diambil walaupun menteri, Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian itu masih belum meluluskan garis panduan tersebut.

“Walaupun Menteri Pengajian Tinggi mendakwa garis panduan itu belum diluluskan, namun belum ada pengumuman menarik balik garis panduan secara hitam putih.

“Oleh itu pelajar pada masa ini masih terikat dengan garis panduan yang tidak munasabah, jika tidak universiti akan mempunyai hak untuk menggunakan garis panduan itu untuk mengawal atau menolak aktiviti berkaitan konsert pelajar,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Justeru Umany berkata kumpulan itu akan meneruskan semakan kehakiman dan melancarkan kempen pendanaan awam untuk mengumpul dana bagi menampung kos litigasi.

Ia menggesa orang ramai memberi sokongan demi mempertahankan kepelbagaian budaya di kampus dan kebebasan pelajar untuk menganjurkan aktiviti.

Selain itu persatuan itu berjanji akan menggunakan semua dana yang diperoleh untuk membiayai semakan kehakiman, dan akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa untuk memastikan keterbukaan dan ketelusan.

“Umany tidak akan mengalah apabila mempertahankan masyarakat daripada tindakan konservatisme teokratik. Kami akan berpegang kepada ideologi kami dan berdiri di barisan hadapan untuk mempertahankan hak pelajar dan kampus yang progresif,” katanya.

Pada 31 Ogos, China Press melaporkan KPT telah mengeluarkan Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di Institusi Pengajian Tinggi.

Antara lain, ia menetapkan tempat duduk penonton yang berbeza jantina diasingkan, termasuk mereka yang datang bersama ahli keluarga.

Garis panduan itu antaranya didakwa memperkenalkan kod pakaian, yang melarang pakaian memaparkan logo Illuminati, lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) dan simbol-simbol lucah serta rambut punk.

Artis juga dilarang memakai pakaian berbeza jantina, termasuk anting-anting, gelang dan seluar pendek.

Menurut laporan China Press, institusi pengajian tinggi tempatan menerima garis panduan itu pada 30 Ogos.

Lihat Komen
ADS