Polis tahan 2 lelaki untuk bantu kes rusuhan bersenjata
Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan bersenjata di sebuah kedai runcit di Bandar Utama, Gua Musang pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kedua-duanya yang berusia lingkungan 20-an ditahan kira-kira 4.30 petang hari sama.
Katanya dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi, mangsa yang merupakan pekerja di kedai runcit berkenaan diserang sekumpulan lelaki ekoran berlaku perselisihan faham selepas memarahi suspek kerana mencuri satu karton air minuman berkarbonat dari premis berkenaan.
"Akibat tidak berpuas hati kerana dimarahi, seramai enam rakan suspek datang menyerang mangsa di kedai tersebut dengan menggunakan parang, batang besi dan kayu panjang sehingga menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.
“Selain itu, suspek juga merosakkan barangan kedai runcit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sik berkata polis turut merampas senjata yang disyaki digunakan semasa kejadian tersebut, termasuk sebilah golok, buku lima dan sebatang cota kayu.
Dia berkata hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif terhadap dadah jenis benzo dan methamphetamine.
Katanya mereka disiasat lanjut mengikut Seksyen 379 dan 148 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan merusuh serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/968a9ecda9e5dbc8b64c552848fe5d59.jpg)
