Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda: Penjelasan AGC isu DNAA Zahid timbul lebih banyak persoalan
Diterbitkan:  Sep 6, 2023 12:33 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Muda tidak berpuas hati dengan penjelasan Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam yang berkata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi telah diberikan pelepasan tanpa pembebesan (DNAA) kerana mahkamah mendapati alasan yang disenaraikan oleh pihak pendakwaan adalah "cogent" (kukuh).

Ahli jawatankuasa eksekutif pusat Muda, Nurainie Haziqah Shafi'i menyifatkan kenyataan AGC itu telah menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding pencerahan.

Menuntut AGC lebih telus, dia mempersoalkan logik AGC di sebalik keputusan itu terutama selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid dalam perbicaraan jenayah.

“Sekiranya alasan yang dikemukakan oleh pendakwa raya itu dikatakan kukuh atau ‘cogent’ adakah mereka mengatakan bahawa kes yang dikemukakan oleh Raja Rozela (DPP sebelum ini) berlandaskan hujah yang lemah, tidak meyakinkan dan cacat cela?

"Adakah Raja Rozela dan Jabatan Peguam Negara gagal dalam melaksanakan tugas mereka sebelum ini, terutamanya apabila sudah ada prima facie dibuktikan dalam kes ini?" katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Nurainie turut menggesa AGC bertanggungjawab sepenuhnya terhadap DNAA dan bukannya menyalahkan mahkamah kerana memberikannya.

Dia berkata kuasa untuk mendakwa suspek terletak di tangan pihak pendakwaan, dan mahkamah telah membebaskan Zahid daripada 47 pertuduhan jenayah berdasarkan permintaan pihak pendakwaan untuk DNAA.

“Muda mendesak agar AGC lebih 'transparent' (telus) dalam menjawab persoalan-persoalan yang dilontar oleh rakyat bagi menjaga kredibiliti institusi peguam negara.

"Institusi perundangan negara ini akan terkesan kerana kes ini melibatkan timbalan perdana menteri dan Muda sama sekali tidak akan berdiam diri," katanya.

Tindakan AGC menarik balik pertuduhan Zahid pada Isnin telah menyebabkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan DNAA kepada presiden Umno itu dalam kes membabitkan Yayasan Akalbudi.

DNAA membuka kemungkinan Zahid didakwa semula jika pendakwa ingin menyemak semula perkara itu.

Keputusan AGC telah menimbulkan kritikan, dengan ramai ahli politik dan aktivis menuntut penjelasan.

Susulan itu, AGC semalam mengeluarkan kenyataan ringkas mengatakan bahawa penarikan balik 47 pertuduhan rasuah adalah berdasarkan alasan yang kukuh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS